PRN Johor: Kehadiran Warisan ‘disorak’ pengundi kelahiran Sabah

PRN Johor: Kehadiran Warisan ‘disorak’ pengundi kelahiran Sabah

Beberapa kerusi kawasan bandar di Johor mempunyai bilangan pengundi yang agak ramai berasal dari Sabah, termasuk di Permas dan Johor Jaya.

Dawisa Sakandal bangga mempamerkan bendera Warisan ketika acara ‘walkabout’ bersama ahli dan penyokong parti itu di Permas.
JOHOR BAHRU:
Kehadiran sulung Warisan di arena politik Semenanjung Malaysia dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor disambut rasa gembira dan teruja oleh pengundi kelahiran Sabah di ibu negeri ini.

Beberapa kerusi kawasan bandar di Johor mempunyai bilangan pengundi yang berasal dari Sabah yang agak ramai, termasuk di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas dan Johor Jaya. Dua kerusi itu juga adalah antara enam yang ditandingi Warisan.

FMT menemui beberapa individu dari Sabah yang kebanyakannya penyokong Shafie Apdal dan mengundi di Johor sejak beberapa pilihan raya umum lalu.

Dawisa Sakandal, 45, berkata, beliau mengikuti perkembangan Shafie sejak pemimpin itu menjadi ahli Umno termasuk sebagai naib presiden parti selama dua penggal.

Dawisa berkata, beliau kemudian berubah sokongan kepada pembangkang selepas Shafie meninggalkan Barisan Nasional (BN).

Beliau mengakui amat gembira selepas Shafie mengumumkan calon Warisan untuk PRN Johor dan menyertai kempen parti yang berasal dari Sabah itu secara aktif.

“Saya tidak pernah aktif dalam politik, namun (selepas pengumuman Warisan itu) saya tiba-tiba bersemangat untuk turun padang berkempen. Sebelum ini, memanglah saya mengikuti politik, tetapi kali ini memang terasa lebih bersemangat,” katanya sambil dengan bangga mengibarkan bendera Warisan ketika acara ‘walkabout’ parti itu.

Ali membuat siaran langsung ‘walkabout’ Warisan menggunakan telefonnya.

Dawisa yang berasal dari Sabah tetapi tinggal di Permas sejak lebih 20 tahun lalu berkata, ramai individu sepertinya yang berasal dari negeri di bawah bayu itu malah telah melahirkan satu generasi di Johor, namun malangnya diketepikan oleh kerajaan negeri termasuk tidak dibenarkan membeli rumah mampu milik yang dikhususkan untuk orang tempatan.

Seorang penyokong yang mahu dikenali sebagai Ali berkata, beliau mengikuti kerjaya politik Shafie sejak era Umno.

Pengundi kelahiran Semporna itu yang tinggal di Johor sejak 1997 berkata, beliau dan rakan senegeri begitu bangga apabila Shafie mengumumkan penyertaan Warisan dalam PRN Sabtu ini dan mereka rata-rata bersemangat memberikan sokongan sebagai orang Sabah.

Seorang lagi penyokong yang berasal dari Semporna dan enggan dinamakan mengakui terasa beremosi selepas Warisan mengesahkan bertanding dalam PRN Johor, malah teruja menemui Shafie ketika acara ‘walkabout’ itu.

Ramai penyokong Warisan adalah orang Sabah yang kini tinggal di Johor.

Katanya, beliau sebelum ini mengundi BN namun undinya beralih mengikut Shafie, malah kali ini memutuskan untuk menyertai kempen untuk Warisan atas galakan kawan-kawannya.

Sementara itu, Siti Aishah yang berasal dari Sandakan berkata, beliau pernah memegang jawatan sebagai pemimpin wanita cawangan PKR sebelum ini, namun kini menyokong Warisan selepas menganggap parti disokongnya sebelum ini sudah beralih daripada perjuangan asalnya.

“Warisan memiliki apa yang saya harapkan dalam parti politik. Bukan berkaitan dengan bangsa dan agama, tetapi untuk bersatu demi masa depan anak-anak kita,” katanya yang juga pernah menjadi ahli Puteri Umno satu ketika dulu.

Beliau yang tinggal di Johor sejak 2004 itu berharap parti Shafie mampu menangani tiga isu utama di negeri berkenaan, iaitu rasuah, perkauman dan ekonomi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.