Umno pegang jawatan PM, tapi kedudukan ‘belum selamat’; Puad sokong PRU disegerakan

Umno pegang jawatan PM, tapi kedudukan ‘belum selamat’; Puad sokong PRU disegerakan

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu berkata lebih baik mandat diserahkan kepada rakyat untuk menentukan kerajaan yang ingin mereka pilih.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi menyokong kenyataan timbalan presiden parti itu, Mohamad Hasan bahawa pilihan raya umum ke-15 perlu disegerakan tanpa mengira keputusan pilihan raya negeri Johor. (Gambar Bernama)
BATU PAHAT:
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi menyokong kenyataan timbalan presiden parti itu, Mohamad Hasan bahawa pilihan raya umum ke-15 (PRU15) perlu disegerakan tanpa mengira keputusan pilihan raya negeri (PRN) Johor kerana pentadbiran semasa di Putrajaya tidak stabil.

Puad berkata, walaupun kerajaan masa ini diketuai oleh pemimpin Umno namun kedudukannya masih belum selamat, malah beliau berpandangan adalah lebih baik mandat diserahkan kepada rakyat untuk menentukan kerajaan yang mereka ingin pilih.

“Saya lebih cenderung menyokong pendirian timbalan presiden parti (Mohamad Hasan) sebab politik sekarang tidak stabil.

“Walaupun Umno adalah pemegang jawatan perdana menteri, tetapi apa-apa pun boleh berlaku. Bagi kita Umno sepatutnya menyerahkan mandat kepada rakyat untuk menentukan kerajaan yang lebih stabil,” katanya ketika ditemui FMT baru-baru ini di kediamannya.

Sebelum ini Mohamad berkata, PRU15 perlu disegerakan tanpa mengira keputusan PRN Johor kerana pentadbiran semasa di Putrajaya tidak dipilih oleh rakyat, manakala ketidakstabilan politik di negara ini menjejaskan rakyat dan ekonomi.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman menuduh Mohamad “menekan” perdana menteri supaya mengadakan PRU15 segera ketika kerajaan kini stabil selepas menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Pakatan Harapan (PH) tahun lalu.

Namun selepas itu, Mohamad, yang lebih dikenali sebagai Tok Mat menggesa Tajuddin supaya “memberi pencerahan” kepada rakyat mengenai tarikh sepatutnya pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan.

Dalam pada itu Puad berkata, perbezaan pendapat dalam kalangan pemimpin Umno adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan sekali gus menyoal sama ada rakyat mahu kerajaan yang bertukar berulang kali sebelum PRU.

“Ini memberi kesan kepada kemasukan pelabur asing. Kita mahu kerajaan yang stabil dan tidak boleh diugut. Sekarang ini perbezaan pandangan sudah jelas antara Umno dengan PN,” katanya.

Puad juga menafikan taasub kepada pemimpin Umno yang dilabel oleh pembangkang sebagai “kluster mahkamah”, yang merujuk kepada bekas perdana menteri Najib Razak dan Presiden Umno Zahid Hamidi, sebaliknya menegaskan beliau hanya menyokong perjuangan dua pemimpin itu.

“Kami mendokong dasar-dasar perjuangan yang murni. Bukan kerana taasub kepada individu atau kelebihan material yang mereka ada.

“Selagi mereka mendukung perjuangan yang murni seperti yang saya perjuangkan, itu yang ikat kami menjadi kawan yang kekal,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.