
Sokongan kuat untuk Hasni dalam bentuk SD itu diserahkan kepada Sultan Johor dengan harapan calon Menteri Besar daripada Barisan Nasional (BN) itu akan dilantik semula ke jawatan berkenaan sebagaimana dijanjikan kepada pengundi Johor pada pilihan raya negeri (PRN) Sabtu lalu.
“Zahid menyerahkan kepada Sultan Johor SD 38 daripada 40 ADUN Umno-BN sebagai tanda sokongan untuk Hasni dilantik menjadi MB. Hanya satu ADUN tidak membuat SD menyokong Hasni,” kata sumber itu.
“Hasni adalah calon tunggal BN. Akar umbi parti agak terkilan beliau belum dilantik lagi walaupun sudah tiga hari PRN berlalu. Kami janjikan kepada pengundi Hasni akan menjadi MB, jadi rakyat Johor mahu janji itu ditunaikan,” katanya.
Isu pelantikan Menteri Besar baharu menjadi tumpuan selepas BN yang ditunjangi Umno meraih kemenangan majoriti melebihi 2/3 pada PRN Sabtu lalu.
Parti itu menampilkan Hasni sebagai calon Menteri Besar dan Zahid turut mengumumkan bahawa ADUN Benut itu akan dicalonkan kepada istana untuk jawatan berkenaan.
Semalam, ia dilakukan oleh Zahid dalam pertemuannya dengan Sultan Ibrahim dengan beliau turut mengemukakan SD berkenaan.
Bagaimanapun pada masa sama desas-desus tersebar luas bahawa ADUN Machap, Onn Hafiz Ghazi, 43, turut diuar-uarkan untuk mengisi jawatan itu.
Onn Hafiz tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan reaksinya.
Susulan itu, Hasni mengeluarkan kenyataan menyatakan beliau akur bahawa Johor perlu dipimpin oleh orang muda demi memastikan kesejahteraan negeri itu.
Sehingga kini, pihak istana Johor belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai pelantikan Menteri Besar baharu atau majlis angkat sumpah jawatan.
“Apapun adalah diharapkan isu pelantikan MB ini ditangani dengan penuh kebijaksanaan dan mengambil kira sentimen semua pihak, terutama sekali pengundi Johor yang diyakinkan untuk memberi mandat besar kepada Umno.
“Keyakinan pengundi terhadap Umno-BN merentasi kaum dan diberikan atas beberapa faktor termasuk ‘janji’ bahawa Hasni ditampilkan sebagai satu-satunya calon BN untuk jawatan MB,” kata sumber itu.