‘Hadiah’ Hari Pekerja, gaji minimum RM1,500 mulai 1 Mei

‘Hadiah’ Hari Pekerja, gaji minimum RM1,500 mulai 1 Mei

Perdana Menteri berkata keputusan itu diambil selepas mengambil kira kos sara hidup rakyat.

Pelaksanaan gaji minimum RM1,500 bermula 1 Mei ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan meluluskan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu RM1,500 mulai 1 Mei ini.

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, berkata langkah itu diambil selepas mengambil kira kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat.

“Justeru, hari ini saya ingin mengumumkan di dalam dewan keramat ini, kerajaan meluluskan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu RM1,500 sebulan mulai 1 Mei 2022 di seluruh negara,” katanya dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021, hari ini.

Beliau berkata, pelaksanaan gaji minimum itu hanya membabitkan majikan syarikat besar dan tidak membabitkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Mengulas lanjut, Ismail berkata kerajaan menangguhkan terlebih dahulu pelaksanaan kadar baharu gaji minimum itu kepada syarikat, perusahaan kecil dan koperasi yang tidak mampu membayar RM1,500 kepada pekerja mereka.

Katanya, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi diarah berbincang bagi membolehkan syarikat dan perusahaan seumpamanya menangguhkan perkara itu.

“Bagi syarikat-syarikat mikro yang mempunyai kurang pekerja dan kurang pendapatan, Menteri Sumber Manusia (M Saravanan) akan berbincang dengan Noh Omar (Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi) mohon agar tangguhkan dulu (penguatkuasaan) kepada syarikat-syarikat kecil ini,” katanya.

Kali terakhir gaji minimum dinaikkan pada 1 Feb 2020, dengan kenaikan RM100 daripada RM1,100 kepada RM1,200 sebulan, ketika pembentangan Bajet 2020.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.