Undi18: Mahasiswa Umno dakwa menteri KBS, KPM gagal tarik pengundi muda

Undi18: Mahasiswa Umno dakwa menteri KBS, KPM gagal tarik pengundi muda

Dua kementerian itu sepatutnya bertanggungjawab merangka polisi mendedahkan anak muda mengenai Undi18.

Pembahas mewakili mahasiswa Umno berkata banyak perlu dilakukan untuk mendidik golongan muda mengenai hak mereka untuk mengundi.
PETALING JAYA:
Menteri Belia dan Sukan serta Menteri Pendidikan dilihat gagal memainkan peranan dalam merangka strategi menarik pengundi muda dalam pilihan raya.

Pembahas mewakili mahasiswa Umno, Wan Muhammad Zuhir Ghazali, berkata dua kementerian itu sepatutnya bertanggungjawab merangka polisi mendedahkan anak muda mengenai Undi18.

“Mana Menteri Belia dan Sukan? Mana Menteri Pendidikan? Mereka ini yang patutnya rangka polisi untuk mendidik, memberi kesedaran kepada orang muda dan pelajar mengenai Undi18. Kalau tak boleh buat kerja, tak ada idea, letak jawatan, jangan sekadar jadi menteri kerana ugutan undi.

“…kerana ramai daripada mereka ini tidak pun turun untuk mengundi ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, tak tahu pun mereka boleh mengundi, tidak tahu mengundi di mana dan ramai yang tak tahu kenapa mereka perlu mengundi,” katanya menurut laporan Umno Online.

Wan Muhammad Zuhir Ghazali.

Beliau mengambil bahagian dalam perbahasan pada Perhimpunan Agung Umno 2021

Dalam perbahasannya, Wan Muhammad turut menyifatkan barisan menteri daripada parti lain tidak kompeten dalam melakukan tadbir urus kementerian.

Katanya, terdapat sebilangan menteri berkaitan merupakan sebahagian daripada Pakatan Harapan (PH) yang secara jelas gagal dalam melaksanakan manifesto seperti ditawarkan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Ini sangat berbeza dengan menteri-menteri parti lain yang ada dalam kerajaan sekarang.

“Kita tengoklah, dulu bukan main janji untuk bantu pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi, permudahkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ke arah pendidikan percuma,” katanya.

Katanya, PH yang sebelum ini kononnya beria-ia berjuang mempertahankan hak anak muda untuk mengundi dikatakan tidak begitu cakna berkenaan Undi18.

“Kononnya mereka paling berjuang kepada undi orang muda. Namun, bila BN dah sokong untuk luluskan, Undi18 bukan idea dah, malah dah dilaksanakan. Tapi tengok, apa jadi pada generasi saya, kenapa mereka tinggalkan generasi kami ini?

“Sebab itu, kita perlukan mandat penuh rakyat, kita perlukan kuasa penuh untuk kita jalankan tanggungjawab kita kepada rakyat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.