Minta rakan tanggal songkok, guru rotan murid 5 kali

Minta rakan tanggal songkok, guru rotan murid 5 kali

Polis berkata, mangsa meminta rakannya yang duduk di bahagian hadapan kelas menanggal songkok kerana sukar melihat tulisan di papan putih.

Polis berkata, siasatan awal mendapati guru terbabit merotan murid itu lima kali sehingga mengakibatkan kesan calar pada badannya.
PETALING JAYA:
Seorang murid Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) yang meminta rakannya menanggalkan songkok kerana sukar melihat tulisan di papan putih, dirotan gurunya sehingga terpaksa menerima rawatan di hospital.

Ketua Polis Daerah Cheras, Muhammad Idzam Jaafar berkata, pihaknya menerima laporan daripada bapa mangsa berhubung kejadian itu pada Selasa lalu.

“Guru tersebut dikatakan tidak berpuas hati dengan anak pengadu yang meminta rakannya yang duduk di bahagian hadapan kelas menanggalkan songkok kerana sukar melihat tulisan di papan putih.

“Siasatan awal mendapati guru terbabit merotan murid terbabit sebanyak lima kali hingga mengakibatkan kesan calar pada badannya. Murid terbabit kemudiannya dirawat di Hospital Kuala Lumpur,” katanya menurut laporan Kosmo.

Idzam berkata, pegawai penyiasat kes pergi ke sekolah terbabit untuk melengkapkan siasatan, tetapi dimaklumkan oleh pihak sekolah bahawa guru terbabit sedang bercuti di luar kawasan.

“Siasatan terperinci sedang dilakukan berhubung kes ini. Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.”

Beliau berkata, sebarang bentuk kekerasan ke atas pelajar sekolah dianggap kes serius dan orang yang mempunyai maklumat diminta menghubungi hotline polis Cheras 03-9284 5050/5051, hotline polis Kuala Lumpur 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.