Tak menyalahi peraturan dewan, tiada masalah kemuka usul SOSMA, kata Wan Junaidi

Tak menyalahi peraturan dewan, tiada masalah kemuka usul SOSMA, kata Wan Junaidi

SOSMA hanya melibatkan usul dan boleh dibentangkan bila-bila masa walaupun ditolak ahli dewan.

Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata tiada masalah bagi Kementerian Dalam Negeri membentangkan usul itu di Dewan Rakyat sebelum 31 Julai.
PETALING JAYA:
Cadangan Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin untuk membawa usul bagi melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA), tidak menyalahi peraturan Dewan Rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata ini kerana cadangan itu hanyalah usul, bukannya Rang Undang-Undang (RUU).

Justeru, katanya tiada masalah bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN) membentangkan usul itu di Dewan Rakyat sebelum 31 Julai ini.

“Mengikut Peraturan 63 Dewan Rakyat, mana-mana RUU yang sudah ditolak, tidak boleh dibentangkan lagi pada sesi mesyuarat sama hinggalah ke penggal persidangan Parlimen akan datang iaitu tahun depan.

“Tetapi apa yang dicadangkan oleh KDN itu bukan RUU, sebaliknya hanya usul yang tidak terikat dengan Peraturan 63, jadi ia boleh dibentang pada bila-bila masa,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Mengulas isu usul lanjutan kuat kuasa Subseksyen 4(5) itu, Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata, apabila sudah dibentangkan, ia boleh dibahaskan pada sesi persidangan Parlimen akan datang.

“Dari situ kita akan melihat penerimaan Ahli Parlimen kerana ketika saya yang membentangkannya lima tahun lalu, ramai tidak menyukainya kerana ia memperuntukkan tempoh tahanan 28 hari bagi polis menjalankan siasatan.

“Ramai Ahli Parlimen yang memperjuangkan hak asasi manusia membantah, tetapi situasi jenayah yang berlaku di negara kita tidak boleh dibandingkan dengan negara lain dalam hal hak asasi manusia itu,” katanya.

Beliau berkata, Akta SOSMA perlu disemak semula setiap lima tahun dan bermakna ia boleh diperbaharui semula dengan usul seperti dicadangkan KDN.

Kes Adib

Mengenai perkembangan kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, Wan Junaidi berkata, pihaknya sudah mengadakan beberapa siri mesyuarat, namun keputusannya tidak boleh didedahkan kepada umum ketika ini.

“Kita sudah membentuk jawatankuasa yang turut dianggotai pakar luar dan dari universiti untuk menilai semula bukti yang ada serta meneliti bagaimana kejadian itu berlaku.

“Selepas tiga bulan dibentuk, jawatankuasa itu akan membuat laporan kepada Kabinet dan kita hanya boleh mendedahkan maklumat berkaitan hasil siasatan itu selepas Kabinet melihatnya.

“Saya percaya pada pertengahan bulan ini, kertas Kabinet itu boleh dibentangkan,” katanya.

Sementara itu, mengenai RUU anti lompat parti, Wan Junaidi berkata, beliau berbincang dengan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, semalam, untuk menetapkan tarikh sidang Dewan Negara selepas tamat persidangan Dewan Rakyat bagi membahaskan RUU berkenaan.

“Insya-Allah, kita akan membahaskan RUU itu di Dewan Rakyat pada 11 April ini selepas ia dibentangkan pada 6 April,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.