Anwar sedia berdebat dengan Najib bila-bila masa

Anwar sedia berdebat dengan Najib bila-bila masa

Ketua Pembangkang itu berkata ia termasuk mengenai isu syarikat Sapura Energy Berhad.

Anwar Ibrahim (kiri) dan Najib Razak.
PETALING JAYA:
Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim berkata, beliau bersedia berdebat dengan bekas perdana menteri, Najib Razak pada bila-bila masa.

Katanya, ia termasuk mengenai isu syarikat Sapura Energy Berhad (SEB).

“Beliau (Najib) kini memilih mencabar saya pada awal bulan Ramadan setelah gagal menjawab sanggahan saudara Rafizi Ramli mengenai kemelut ‘bail-out’ Sapura dalam keadaan rakyat miskin dan para peniaga kecil yang tidak terbela.

Tonton video di sini.

“Saya bersedia untuk berdepan dan berdebat demi negara dan rakyat pada bila-bila masa dengan Najib Razak,” kata Anwar dalam kenyataan.

Anwar berkata, beliau tidak pernah berganjak untuk berdebat dengan Najib dengan cabaran itu pernah dibuat lebih 10 tahun lalu.

“Sikap saya jelas dan tidak berganjak sejak lebih 10 tahun lalu di mana saya pernah melontarkan cabaran yang serupa kepada beliau (Najib) tapi tidak bersahut.

Semalam, Najib menyahut cabaran debat bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi berhubung isu syarikat terbabit tetapi berkata ia perlu disertai Anwar.

Kata Najib, sekiranya Anwar tidak mahu menyertai debat itu, Rafizi boleh berdebat dengan Ketua Penerangan Barisan Nasional Selangor Isham Jalil. Isham merupakan bekas pembantu Najib semasa beliau menjadi perdana menteri.

Susulan respons Najib itu, Rafizi mendakwa Najib “takut” untuk berdebat dengannya mengenai isu kewangan SEB selepas bekas perdana menteri itu menetapkan syarat tertentu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.