
Gamuda mempunyai kepentingan di semua empat konsesi berkenaan.
Dalam laporan The Edge, penganalisis CGS-CIMB, Sharizan Rosely, berkata beliau yakin rancangan pengambilalihan bernilai RM5.4 bilion membabitkan LDP, SMART, SPRINT dan Kesas oleh syarikat tidak berkeuntungan, Amanat Lebuhraya Rakyat Berhad (ALR), boleh dilaksanakan.
“Model amanah lebuh raya disifatkan sebagai urusan menang-menang kepada Gamuda, kerajaan dan pengguna lebuhraya bagi tempoh jangka panjang,” katanya.
Mengikut rancangan pengambilalihan, kerajaan dijangka mendapat penjimatan sekurang-kurangnya RM4.3 bilion dalam bentuk pampasan untuk menangguhkan peningkatan kadar tol sepanjang tempoh konsesi.
Pada masa sama, kadar tol bagi empat lebuh raya itu tidak lagi dinaikkan sehingga tempoh konsesi tamat.
Gamuda yang mempunyai pegangan dalam semua lebuh raya berkenaan – LDP (43%), SMART (50%), SPRINT (52%) dan Kesas (70%) – dijangka mendapat keuntungan besar.
Dalam pada itu, PublicInvest Research, berkata pelupusan pegangan itu adalah positif bagi Gamuda walaupun hakikatnya syarikat itu akan mengalami kerugian pendapatan berulang sehingga kira-kira RM170 juta setahun.
“Selepas selesai urusan itu, Gamuda akan menjadi syarikat mempunyai tunai yang besar,” katanya sambil menambah adalah positif bagi Gamuda untuk memberi ganjaran kepada pemegang sahamnya menerusi dividen khas.