
Dia memujuk Ng untuk datang ke Amerika Syarikat (AS) terlebih dahulu untuk perbicaraan, dan bukannya menunggu kes selesai di tempat asalnya di Malaysia. Dia melakukannya, dan tinggal bebas di New York dengan bon selama hampir tiga tahun.
Pada Jumaat, Ng disabitkan bersalah kerana bersubahat melanggar undang-undang anti-rasuah dan pengubahan wang haram dan kini berdepan kemungkinan hukuman 30 tahun penjara.
“Saya beritahunya lebih baik kamu berada di AS, di mana kamu mempunyai sistem dan perbicaraan sebenar,” kata peguambela Marc Agnifilo selepas keputusan. “Saya telah memikirkan semula keputusan itu sepuluh ribu kali.”
Ia memberi kesan. Agnifilo berkata kali terakhir anak guamnya bertemu anak perempuan, Victoria adalah ketika berusia enam tahun, selepas Malaysia menghalang isteri Ng, Lim Hwee Bin meninggalkan negara.
Lim hanya dibenarkan meninggalkan negara untuk menghadiri perbicaraan di New York selepas AS memberinya surat “laluan selamat’ yang bersetuju untuk tidak mendakwanya. Dia memberi keterangan untuk pembelaan suaminya.
1MDB “adalah bencana peribadi dalam kehidupan keluarga itu,” kata Agnifilo.
Ng, bekas ketua pelaburan perbankan Goldman Sachs di Malaysia, telah ditahan selama enam bulan di Kuala Lumpur ketika dia bersetuju untuk mengetepikan usaha mendapatkan ekstradisi dan pergi ke Brooklyn dalam tahanan AS.
Ketika ketibaannya, dia dibebaskan dengan bon berjumlah USD20 juta dan perlu memakai gelang kaki elektronik untuk mengesan pergerakannya sementara menunggu perbicaraan. Susulan keputusan pada Jumaat, dia dibenarkan kekal bebas sementara menunggu hukuman.
Agnifilo, yang berikrar untuk mencabar sabitan itu, berkata dia dan peguam Ng di Malaysia sedang menyelaraskan usaha mereka untuk langkah undang-undang seterusnya.
“Saya percaya dengan sistem kami, kerana saya berasal dari sini,” katanya.
“Saya rasa dia pun masih terasa begitu, walaupun bukan berasal dari sini.”