Bumbung sekolah musnah, 5 rumah ranap akibat ribut di Sabah

Bumbung sekolah musnah, 5 rumah ranap akibat ribut di Sabah

Beberapa kawasan di Sandakan turut dilanda ribut dan angin kencang serta berlaku hujan ais batu, semalam.

Bumbung sekolah di SK Seri Gum-Gum di Beluran musnah akibat angin kencang, semalam. (Gambar Bomba)
BELURAN:
Angin kencang dan hujan lebat yang melanda sekitar Pantai Timur Sabah, semalam, mengakibatkan sebuah bangunan di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Gum-Gum, di sini, mengalami kerosakan.

Jurucakap Bomba Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkenaan kejadian itu, pada 8.13 malam.

Katanya, sepasukan enam anggota dengan sebuah jentera penyelamat kemudian dihantar ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati, 30% bumbung sekolah berkenaan runtuh dan rosak.

“Bagaimanapun kejadian tidak membabitkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Lima buah rumah di Telipok musnah akibat tanah runtuh. (Gambar Bomba)

Terdahulu, beberapa kawasan di Sandakan dilanda ribut dan angin kencang serta berlaku hujan ais batu, semalam.

Sementara itu di Kota Kinabalu, sebanyak lima buah rumah di Skim Penempatan Telipok, di sini, musnah akibat tanah runtuh, awal pagi tadi.

Kejadian yang dilaporkan berlaku pada 5.30 pagi itu juga susulan hujan berterusan sejak semalam.

Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terlibat selepas semua mereka sudah diarah mengosongkan rumah, sejak semalam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.