
Poster itu yang dimuat naik polis di Facebook dua tahun lalu, yang antara lain memberi amaran penggunaan basikal itu berisiko membahayakan penunggangnya, selain mampu mengakibatkan kemalangan jalan raya.
Polis juga menasihatkan ibu bapa sentiasa memantau aktiviti anak mereka.
Poster yang asalnya direka bentuk oleh Jabatan Keselamatan Jalan Raya itu juga memaparkan bahawa ibu bapa boleh didenda RM20,000 atau penjara lima tahun, sekiranya terbukti mengabaikan keselamatan anak bawah umur yang terlibat aktiviti basikal lajak.
Mengikut statistik sejak 2018, sejumlah 93 operasi berhubung aktiviti basikal lajak diljalankan dengan 105 basikal yang dimodifikasi itu dirampas oleh pihak berkuasa.

Walaupun poster itu dimuat naik pada 2020, ulasan berhubung perkara berkenaan kembali mendapat perhatian hari ini, selepas Sam dijatuhi hukuman enam tahun penjara dan denda RM6,000 semalam kerana menyebabkan kematian enam remaja yang menunggang basikal lajak.
Pengguna Facebook, Ain Mohd, mengingatkan orang ramai agar tidak menerima “nasib” sama seperti Sam.
“Jom la kita pakat ramai-ramai, siapa ternampak budak-budak yang main basikal lajak dan kenal mak ayah dia, sila lapor pada pihak berkuasa. Janganlah kita jadi Sam Ke Ting yang seterusnya!” katanya.
Dalam pada itu, Nur Ain Rahmad, berkata, “Sorry better dikenakan tindakan wajar kepada ibu bapa juga. Anak-anak memang perlukan pengawasan ibu bapa.”
Aniefariq Amran pula, berkata, “Saya masih tak jumpa logik akal yang meng’ok’kan anak-anak bawah umur keluar malam tanpa pengawasan ibu bapa. Lagi-lagi pukul 3 pagi.”
Hari ini, peguam Sam memohon kebenaran mengemukakan permohonan rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi, termasuk dengan perakuan segera juga yang telah difailkan.
Sementara itu, petisyen mendesak pembebasan Sam di Change.org mendapat 458,812 tandatangan, sehingga 4.26 petang, hari ini.