Nazri sokong gesaan lantik Ismail pengerusi BN

Nazri sokong gesaan lantik Ismail pengerusi BN

Pemimpin Umno itu berkata, Ismail Sabri Yaakob akan mengetuai kempen parti itu dan patut diberikan kuasa untuk memberi 'surat watikah' kepada calon BN.

Nazri Aziz berkata, ada beberapa sebab kenapa Ismail Sabri Yaakob perlu dilantik sebagai pengerusi Barisan Nasional (BN).
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz memberikan beberapa sebab untuk menyokong gesaan Annuar Musa supaya Ismail Sabri Yaakob mengambil alih jawatan pengerusi Barisan Nasional (BN) daripada Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, sebagai calon perdana menteri Umno untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU15), Ismail akan mengetuai kempen parti itu dan patut diberikan kuasa untuk memberi surat watikah kepada calon BN.

Beliau berkata, sentiasa wujud “ancaman” yang dihadapi ahli Umno, sama ada dalam keadaan bergurau atau hakikatnya, mereka tidak boleh bersuara menentang presiden parti kerana bimbang tidak akan dipilih sebagai calon pilihan raya.

“Adalah adil dan betul untuk menghapuskan ancaman ini, jawatan pengerusi BN perlu diberikan kepada Ismail kerana perdana menteri itu telah dipilih oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk mengetuai parti dalam PRU15,” katanya kepada FMT.

“Apabila ia berkaitan BN, kita tidak boleh anggap hanya Umno boleh menentukan siapa yang patut menjadi pengerusi. Tanggungjawab itu dikongsi bersama parti komponen lain – MCA, MIC dan PBRS. Setiap parti mempunyai satu undi.”

Bekas menteri undang-undang itu berkata, parti itu bertindak betul dengan melantik Ismail sebagai presiden Umno memandangkan beliau ialah perdana menteri sekarang.

Dahulu katanya, beberapa pemimpin menjadi timbalan perdana menteri terlebih dahulu, sebelum “disahkan” dan dilantik sebagai timbalan presiden parti.

“Ini berlaku pada masa lalu dengan pelantikan beberapa timbalan perdana menteri seperti Tun Dr Mahathir (Mohamad), Ghafar Baba, Pak Lah (Abdullah Ahmad Badawi) bahkan Najib Razak sendiri. Jadi ini adalah duluan.”

Terdahulu, bekas setiausaha agung BN, Annuar Musa dilaporkan berkata, sudah sampai masanya Ismail dilantik sebagai pengerusi BN dan pengarah utama jentera pilihan raya gabungan itu, selepas ahli Parlimen Bera itu dinamakan sebagai calon perdana menteri Umno bagi PRU15.

Bagaimanapun, ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Tajuddin Abdul Rahman, semalam memberi amaran bukan jaminan Ismail akan kekal sebagai perdana menteri selepas PRU15, walaupun parti membuat keputusan itu.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu memberi contoh pilihan raya negeri Johor bulan lalu, apabila Hasni Mohammad yang dijadikan “poster boy” tidak dipilih sebagai menteri besar.

Nazri menyifatkan apa yang berlaku di Johor sebagai “janggal” dan percaya ia tidak akan berulang dengan Yang di-Pertuan Agong selepas PRU15.

Beliau berkata, ia adalah prerogatif Agong untuk menentukan siapa yang patut dilantik menerajui negara dan BN akan sentiasa menghormati keputusan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.