Masalah kenderaan asing beli petrol RON95 kini berkurang, kata menteri

Masalah kenderaan asing beli petrol RON95 kini berkurang, kata menteri

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi berharap warga asing memahami subsidi bertujuan meringankan beban rakyat negara ini.

Sejak 1 Ogos 2010, kenderaan berdaftar asing dibenarkan membeli hanya petrol RON97 sahaja di negara ini.
LABUAN:
Masalah kenderaan berdaftar asing mengisi petrol RON95 di negara ini kini reda selepas pihak berkuasa mengeluarkan amaran berhubung perkara itu, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi.

“Sebelum ini, sejurus selepas pembukaan semula sempadan negara, ramai kalangan mereka (warga asing) bergegas (untuk mengisi minyak dalam negara), tetapi selepas kita ingatkan mereka (pengusaha stesen minyak), nampaknya masalah itu berkurangan.

“Kita sangat bergantung kepada pengusaha (stesen minyak) untuk membantu kerajaan memastikan RON95 hanya dijual kepada rakyat Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas melawat premis perniagaan di Kompleks Financial Park di sini, semalam.

Beliau berkata, pihak kementerian telah menerima aduan daripada orang ramai mengenai kenderaan berdaftar asing membeli RON95 di negeri-negeri sempadan selepas negara membuka semula sempadannya pada 1 April selepas ditutup selama kira-kira dua tahun akibat pandemik Covid-19.

“Kerajaan memberikan subsidi yang tinggi bagi penjualan petrol RON95. Oleh itu, ia sepatutnya hanya dijual kepada kenderaan berdaftar di Malaysia,” tambahnya.

Beliau berharap warga asing memahami bahawa subsidi itu bertujuan meringankan beban rakyat sahaja.

Sejak 1 Ogos 2010, kenderaan berdaftar asing dibenarkan membeli hanya petrol RON97 sahaja di negara ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.