
Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata, adalah tidak bagus bagi PH apabila Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub memberitahu media mengenai sikap terbuka untuk berunding dengan Bersatu, sedangkan partinya patut berbincang dengan sekutunya dahulu.
“Isu sebegini (kerjasama dengan parti lain) perlu dibincangkan dan dipersetujui oleh semua anggota PH,” kata Azmi kepada FMT, selain menambah bahawa kerjasama dengan Bersatu adalah “perkara yang sangat sensitif” berikutan Langkah Sheraton.
“Bagi PH, rundingan dengan Bersatu adalah isu besar dan perlu diformalkan sesama mereka. Perbincangan mengenai kemungkinan kerjasama ini perlu diselesaikan secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata, penyokong DAP berang apabila PKR dan Amanah secara sepihak memutuskan untuk menerima dua bekas ADUN Umno sejurus sebelum pilihan raya negeri (PRN) Melaka. Keputusan itu membawa kepada pemboikotan calon PKR dan prestasi hambar oleh parti itu.
Minggu lepas, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook menggesa Salahuddin supaya membincangkan dengan PH pandangannya mengenai kerjasama politik dengan parti lain, bukannya melalui kenyataan kepada media.
Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail juga sebelum ini dilaporkan berkata bahawa partinya terbuka untuk berbincang dengan mana-mana parti politik, termasuk Bersatu, sebagai persediaan menghadapi PRU15.
Oh Ei Sun daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, perbezaan pendapat antara parti komponen hanya akan menguatkan persepsi bahawa PH “sesat dalam hala tuju politiknya”.

Beliau berkata, PH berada dalam dilema kerana tidak mungkin gabungan itu secara keseluruhannya dapat membuat keputusan yang cepat dan muktamad mengenai kerjasama dengan PN.
“Jika mereka tidak bekerjasama dengan PN, adalah sukar untuk mereka menarik undi Melayu,” katanya kepada FMT.
“Bagaimanapun, jika mereka melakukannya secara rasmi, mereka mungkin hilang asas sokongan tradisional bukan Melayu,” katanya, selain menambah bahawa ini akan lebih dirasai oleh DAP.
Tambahnya, PH dan PN boleh sahaja bekerjasama “secara tidak rasmi”, selagi ia tidak bertembung di kerusi yang ditandingi.