Jumlah kenderaan meningkat arah selatan, lebuh raya utama masih lancar

Jumlah kenderaan meningkat arah selatan, lebuh raya utama masih lancar

Kemalangan dilaporkan berlaku di laluan Pagoh-Yong Peng dan Tapah-Gopeng.

Lembaga Lebuhraya Malaysia melaporkan trafik mulai perlahan sepanjang 1.1km sebelum masuk ke Plaza Tol Kuala Terengganu.
PETALING JAYA:
Aliran trafik menghala ke selatan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) mulai tinggi setakat 11 pagi tadi apabila orang ramai mula pulang ke kediaman masing-masing selepas cuti sambutan Aidilfitri.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di laman Twitter melaporkan lima lokasi yang mencatatkan aliran trafik tinggi adalah Permatang Pauh menghala ke Hentian Juru; Juru Auto City menghala ke Plaza Tol Juru; Bandar Cassia ke Jawi; Bukit Gantang ke Bukit Berapit; dan Simpang Pulai ke Gopeng.

LLM turut melaporkan berlaku kemalangan melibatkan kereta dan lori di laluan Pagoh-Yong Peng pada 9.34 pagi tadi yang menyebabkan lorong kiri dan kecemasan terhalang.

Trafik di laluan itu juga sesak sepanjang 3.3km arah selatan, menurut LLM.

Kemalangan juga berlaku di laluan Tapah-Gopeng, iaitu di KM308.5 arah utara yang menyebabkan lorong kanan terhalang serta trafik sesak di kedua-dua arah.

Setakat 11 pagi tadi juga, trafik di sepanjang lebuh raya utama termasuk Lebuhraya Pantai Timur (LPT) masih lancar di kedua-dua arah termasuk sekitar plaza tol utama seperti Gombak, Bentong dan Karak.

Bagaimanapun, LLM melaporkan trafik mulai perlahan sepanjang 1.1km sebelum masuk ke Plaza Tol Kuala Terengganu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.