Lelaki larikan isteri orang, rempuh kereta polis direman 4 hari

Lelaki larikan isteri orang, rempuh kereta polis direman 4 hari

Penganggur berusia 31 tahun itu direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Tangkap layar video tular berdurasi 38 saat di media sosial menunjukkan kereta dipandu suspek dikejar kenderaan peronda polis di sekitar Sitiawan dan Seri Manjung. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki yang disyaki melarikan isteri orang dan melanggar kereta peronda polis dalam kejadian di Seri Manjung, Perak, pagi semalam direman empat hari hingga Ahad ini.

Ketua Polis Manjung, Nor Omar Sappi, berkata lelaki berusia 31 tahun juga penganggur itu direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah agar siasatan lanjut dilakukan terhadapnya.

“Dalam kejadian itu, wanita berusia 34 tahun yang bekerja sebagai juruwang tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Omar berkata, kereta peronda polis yang dirempuh pula mengalami kerosakan di bahagian hadapan sebelah kiri manakala anggota polis yang berada di dalamnya tidak mengalami kecederaan.

Dalam kejadian itu, suspek yang memandu kereta milik wanita tersebut merempuh kenderaan polis dalam usahanya melarikan diri daripada ditahan.

Suspek memandu kereta mangsa menghala ke Seri Manjung dalam keadaan berbahaya dan enggan berhenti apabila diarahkan oleh kereta peronda polis yang berada berhampiran sebaliknya terus memecut dan melanggar isyarat lalu lintas.

Sebaik sahaja tiba di hadapan bangunan Toyota, Seri Manjung, kenderaan peronda polis bertindak menghalang jalan, namun suspek melanggar kenderaan itu dan terus memecut laju.

Apabila tiba di hadapan sebuah restoran, suspek menghentikan kereta dan cuba pula mengambil motosikal milik seorang wanita tetapi tidak berjaya memaksa dia kembali masuk ke dalam kereta dengan anggota polis yang tiba kemudian berjaya menahannya selepas berlaku pergelutan.

Suspek disiasat bawah Seksyen 498 Kanun Keseksaan iaitu memikat atau membawa pergi atau menahan seorang wanita bersuami dengan niat jenayah.

Dia juga disiasat mengikut Seksyen 188 kanun sama kerana mengingkari suatu perintah yang diisytiharkan oleh seorang penjawat awam serta Seksyen 186 juga kanun sama kerana menghalang penjawat awam dalam menjalankan tugas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.