Muhyiddin menentang permohonan injunksi interim Zahid

Muhyiddin menentang permohonan injunksi interim Zahid

Peguam berkata Hakim Mahkamah Tinggi Rozana Ali Yusoff akan mendengar permohonan itu pada 25 Mei.

Ahmad Zahid Hamidi memohon perintah injunksi untuk menghalang Muhyiddin Yassin daripada mengulangi atau menyiarkan kata-kata fitnah bahawa presiden Umno itu meminta bantuan bekas perdana menteri untuk menggugurkan kes rasuah dihadapinya.
KUALA LUMPUR:
Muhyiddin Yassin menentang permohonan injunksi interim (sementara) Ahmad Zahid Hamidi terhadapnya supaya tidak mengulangi atau menyiarkan kenyataan fitnah di media sosial.

Kenyataan itu adalah berhubung dakwaan bahawa presiden Umno itu meminta bantuan bekas perdana menteri berkenaan untuk menggugurkan kes rasuahnya.

Peguam Zahid, Baharudeen Mohamed Ariff berkata, hakim Mahkamah Tinggi Rozana Ali Yusoff akan mendengar permohonan itu pada 25 Mei.

“Muhyiddin telah memfailkan afidavit untuk mencabar permohonan Zahid mendapatkan injunksi sementara menunggu keputusan akhir saman itu,” katanya kepada FMT.

Baharudeen berkata, Zahid akan memfailkan afidavit untuk membalas bantahan Muhyiddin.

Ketika pengurusan kes minggu lalu, mereka turut diarahkan supaya memfailkan hujahan bertulis selewat-lewatnya pada 17 Mei.

“Pendengaran secara inter-parte (dua pihak) mengenai injunksi itu akan didengar pada 25 Mei menerusi prosiding dalam talian,” kata Baharudeen.

Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, memfailkan saman itu bulan lalu. Beliau menuntut ganti rugi dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Muhyiddin, yang juga satu-satunya defendan, didakwa membuat tuduhan itu terhadap Zahid pada kempen pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Zahid menafikan beliau bertemu Muhyiddin untuk mendapatkan bantuan perdana menteri ketika itu bagi menyelesaikan kes jenayahnya yang masih berjalan. Muhyiddin adalah perdana menteri antara Mac 2020 dan Ogos tahun lalu.

Dalam penyataan tuntutan Zahid berkata, kenyataan fitnah yang dikatakan oleh Muhyiddin membayangkan beliau tidak layak menjadi presiden Umno dan pengerusi Barisan Nasional (BN).

Beliau mendakwa kenyataan itu bermakna beliau menggunakan jalan pintas untuk menyelesaikan kes jenayahnya bagi kepentingan peribadi.

Beliau juga berkata, wujud niat jahat di pihak Muhyiddin yang mengeluarkan kenyataan itu kerana Perikatan Nasional (PN) adalah salah satu gabungan yang bertanding dalam PRN Johor.

Zahid sedang dibicarakan atas 80 tuduhan rasuah di sini dan Shah Alam.

Minggu lalu, Zahid memfailkan saman serupa terhadap Dr Mahathir Mohamad, yang menjadi perdana menteri buat kali kedua antara Mei 2018 dan Februari 2020 selepas gabungan Pakatan Harapan (PH) dipilih untuk memegang kuasa.

Dalam sidang media pada 23 Feb, Mahathir mendakwa bahawa Zahid dan beberapa lain bertemu beliau di kediamannya pada 2018.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.