Fokus isu rakyat pada PRU15, Nik Nazmi beritahu PH

Fokus isu rakyat pada PRU15, Nik Nazmi beritahu PH

Ketua setiausaha pengelola PKR itu berkata pembangkang sebelum ini banyak memperjuangkan isu rakyat namun ketika ini lebih berkempen mengenai pengkhianatan yang menjatuhkan kerajaan PH.

Nik Nazmi Nik Ahmad berkata Pakatan Harapan hanya memperoleh 30% undi Melayu pada pilihan raya umum 2018.
PETALING JAYA:
Pakatan Harapan (PH) perlu fokus dari segi memperjuangkan isu ekonomi rakyat daripada cuba menyaingi Umno dalam membakar sentimen kaum, kata Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Nik Nazmi berkata, ketika ini soal ekonomi rakyat sangat relevan bagi masyarakat Melayu yang merupakan majoriti kelompok B40 dan kelompok pertengahan dalam negara.

Katanya, pada pilihan raya umum ke-13 dan 14, Pakatan Harapan (PH) banyak memperjuangkan isu membabitkan rakyat antaranya mansuh GST, gaji minima dan memansuhkan hutang peneroka Felda termasuk turunkan harga kereta dan pendidikan percuma yang mendapat sambutan baik daripada rakyat.

“Tetapi dalam PRN (pilihan raya negeri) Melaka dan Johor, PH lebih berkempen di atas rekod mentadbir kedua-dua negeri serta menyerang pengkhianatan yang menjatuhkan kerajaan PH sedangkan Najib (Razak) pusing kedua-dua negeri bercakap tentang pengeluaran KWSP,” katanya di Facebook.

Nik Nazmi Nik Ahmad.

Nik Nazmi dalam pada itu turut mengingatkan undi Melayu untuk PH pada PRU14 di seluruh negara hanya sekitar 30%, bagaimanapun jumlah undi Melayu yang diterima di pantai timur iaitu di Kelantan, Terengganu dan Pahang adalah sangat rendah bawah 20% manakala undi diterima di pantai barat selatan iaitu, Selangor sampai ke Johor lebih tinggi daripada purata, malah mencapai 40% di Selangor.

“Timbul persoalan yang dibincangkan dalam pembangkang terutamanya PH dan kini mendapat tempat dalam pemilihan Keadilan, apakah pendekatan terbaik bagi memenangi undi Melayu dan meraih kemenangan: ‘runding’ atau ‘perang’?,” katanya.

Kenyataan Nik Nazmi berhubung ‘rundingan’ berkemungkinan merujuk kepada dakwaan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution bahawa PH sedia bekerjasama dengan mana-mana parti menjelang PRU15.

Nik Nazmi bersaing untuk jawatan naib presiden PKR dalam pemilihan parti akan datang dan berada satu kumpulan dengan Rafizi Ramli, yang bertanding untuk jawatan timbalan presiden.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.