Ada negara ketiga sedia terima pelarian Rohingya di Malaysia, kata Saifuddin

Ada negara ketiga sedia terima pelarian Rohingya di Malaysia, kata Saifuddin

UNHCR menganggarkan terdapat kira-kira 103,810 Rohingya berada di negara ini.

Menteri Luar Saifuddin Abdullah, berkata penempatan semula pelarian ke negara ketiga terjejas sejak dua tahun lalu, berikutan pandemik Covid-19. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Beberapa negara telah menzahirkan kesediaan menerima lebih ramai pelarian Rohingya di Malaysia untuk proses penempatan semula di negara masing-masing, kata Menteri Luar Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, proses penempatan semula pelarian ke negara ketiga terjejas sejak dua tahun lalu, berikutan pandemik Covid-19.

“Ada indikasi ada negara setuju lipatgandakan penerimaan jumlah pelarian Rohingya (yang sekarang berada di Malaysia),” katanya apabila diminta mengulas mengenai isu pelarian Rohingya yang melarikan diri daripada Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, Kedah, bulan lalu.

Saifuddin ketika dipetik Bernama, berkata beliau juga telah bertemu pengarah UNHCR, di Kuala Lumpur, bagi membincangkan proses penempatan semula Rohingya.

Saifuddin Abdullah.

Setakat Mac tahun ini, UNHCR menganggarkan terdapat kira-kira 103,810 Rohingya berada di Malaysia.

Sementara itu, Saifuddin mengingatkan golongan belia berhati-hati dengan tawaran kerja di luar negara agar tidak terpedaya dengan sindiket penipuan pekerjaan.

Beliau berkata, ada beberapa kes di negara jiran Kemboja, baru-baru ini, rakyat Malaysia diperdaya dengan tawaran pekerjaan palsu.

“Rakyat Malaysia perlu berhati-hati dengan tawaran pekerjaan yang dibuat dengan cara pelbagai, ada yang Whatsapp terus ke nombor telefon pencari kerja. Kalau boleh rakyat Malaysia periksa betul-betul (kesahihan) tawaran kerja,” katanya.

Saifuddin berkata, perwakilan Malaysia di luar negara sentiasa bersedia memberikan nasihat mengenai perkara itu serta membantu warga Malaysia yang berada dalam kesukaran.

Beliau berkata, rakyat Malaysia yang memerlukan maklumat berhubung kesahihan syarikat terlibat boleh mendapatkan bantuan Kedutaan Malaysia di negara masing-masing atau perkhidmatan konsular kementerian.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan 16 rakyat Malaysia yang mendakwa menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Kemboja telah selamat tiba di Malaysia dari Phnom Penh bulan lalu.

Beliau berkata, masih ada lebih 20 lagi mangsa ditahan di Phnom Penh dan menunggu untuk dibawa pulang ke Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.