
“Mereka tidak sedar terdapat undang-undang yang dilanggar dengan penganjuran majlis keraian,” kata pengasas Rohingya Youth Support Network, Husson Ahmad kepada FMT ketika mengulas keputusan melarang komuniti itu daripada mengadakan acara di kawasan terbuka di kawasan DUN Kesidang di Melaka.
Husson, yang berusaha memperjelas tanggapan bahawa komuniti tersebut dipenuhi pelanggar undang-undang, menjelaskan bahawa golongan Rohingya tidak banyak peluang untuk mempelajari serta memahami peraturan, termasuk perkara yang dibenarkan dan yang dilarang.
“Sebagai contoh, mereka tidak tahu bahawa permit diperlukan untuk mengadakan sesuatu majlis keraian. Mereka juga tidak tahu bagaimana untuk memohon permit tersebut,” katanya.

Berikutan itu katanya, mereka tidak sedar telah melanggar undang-undang dengan menganjurkan majlis seperti itu. “Malangnya, ia kelihatan seolah-olah mereka sengaja melanggar peraturan,” tambahnya.
Minggu lalu, Adun Kesidang Allex Seah berkata warga asing, khususnya Rohingya, dilarang daripada menganjurkan majlis keraian atau sambutan di kawasan terbuka.
Beliau berkata langkah itu bertujuan mengelakkan gangguan kepada penduduk tempatan serta mencegah pertikaian.
Seah berkata keputusan itu dibuat dalam satu mesyuarat antara pegawai Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kesidang bersama wakil beberapa pihak berkuasa dan agensi kerajaan.
Bagaimanapun, katanya, Rohingya masih dibenarkan mengadakan acara di premis yang ‘sesuai’ seperti restoran atau dewan komuniti.
Sebaliknya, Husson menegaskan bahawa kelonggaran seperti itu masih tidak mencukupi kerana ia tetap memberi gambaran bahawa komuniti tersebut menjadi sasaran.
“Komuniti ini akan berasa tersisih dan bukannya diterima sebagai sebahagian daripada masyarakat. Bagi generasi muda, ia menjejaskan rasa kebersamaan dan identiti mereka,” katanya, sambil menambah bahawa bagi kebanyakan mereka, Malaysia merupakan tempat perlindungan yang selamat.
Amnesty International turut mengkritik langkah tersebut, dengan menyatakan bahawa ia tidak adil kerana mensasarkan satu kumpulan sahaja.
Pengarah bersama serantau bagi Asia Timur dan Asia Tenggara serta Pasifik, Montse Ferrer, berkata sebarang isu melibatkan bunyi bising atau ketenteraman awam sepatutnya ditangani secara langsung, bukannya mengenakan sekatan menyeluruh terhadap seluruh komuniti.
“Sekatan menyeluruh terhadap tempat warga asing boleh berkumpul, terutama apabila pihak berkuasa menamakan komuniti Rohingya sebagai kebimbangan utama, adalah bersifat diskriminasi,” katanya ketika dihubungi.
Ferrer berkata majlis perkahwinan dan perhimpunan budaya tidak sepatutnya dianggap sebagai ancaman, sambil menambah tindakan sedemikian merampas maruah individu yang telah pun melarikan diri daripada keganasan dan penganiayaan.
Beliau berkata sebarang kebimbangan khusus sepatutnya ditangani melalui penguatkuasaan yang sewajarnya, bukan ‘hukuman kolektif’ terhadap seluruh komuniti.