
T Muniswaran, S Katharavello dan Zulbihar Ali Khan Kamaldin didakwa bersama membunuh S Prabah, 49, di Hotel Capitol, Jalan Bulan pada 3 Mei.
Mereka berdepan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Tiada pengakuan direkodkan di depan majistret Wong Chai Sia kerana kes bunuh terletak bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. Mahkamah menetapkan 13 Julai untuk sebutan kes.
Timbalan Pendakwa Raya Phulrani Kaur mengendalikan pendakwaan, manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.
Pada 5 Mei, polis dilaporkan berkata, mangsa ditemui mati ditembak dalam sebuah bilik hotel disebabkan urusan jual beli dadah.
Ketua Polis Kuala Lumpur Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya mendapati lelaki itu berada di hotel bersama tiga lelaki lain.
Katanya, hasil semakan mendapati mangsa yang berasal dari Johor itu mempunyai 13 rekod jenayah lampau berkaitan dadah, culik dan bunuh.