3 PPS dibuka di 2 negeri tempatkan 138 mangsa banjir

3 PPS dibuka di 2 negeri tempatkan 138 mangsa banjir

Negeri-negeri yang terbabit adalah Kedah dan Negeri Sembilan, melibatkan 138 mangsa.

Sebuah rumah di kawasan Batu 6 Jalan Jelebu Pantai, Negeri Sembilan, ditenggelami banjir akibat hujan lebat petang semalam. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di dua negeri bagi menempatkan 138 mangsa banjir daripada 48 keluarga setakat pagi tadi.

Di Kedah, 28 mangsa banjir daripada enam keluarga di Baling ditempatkan di PPS SK Tawar setakat 9 pagi ini.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling Rasidah Kassim berkata, semua yang ditempatkan di situ adalah penduduk kampung dari Mukim Tawar.

“Pagi ini cuaca cerah di Baling. Air dah surut, mangsa akan ke rumah masing-masing untuk membersihkan rumah,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Baling akan terus membuat pemantauan dari semasa ke semasa serta sentiasa berada dalam keadaan siap siaga.

Di Negeri Sembilan, data terkini menerusi aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan dua PPS dibuka, iaitu di SK Undang Johol dan Dewan Desa Dangi, Johol, Kuala Pilah melibatkan 110 individu daripada 42 keluarga setakat 8 pagi tadi.

Dalam pada itu Pengarah APM Negeri Sembilan Mohd Syukri Md Nor berkata, kejadian tanah runtuh berlaku di N14 Jalan Inas-Kampung Batu berikutan hujan lebat di kawasan berbukit di lokasi tersebut yang menghalang sepenuhnya lalu lintas.

“Susulan itu pengguna jalan raya dinasihatkan menggunakan jalan alternatif, iaitu Laluan FT051 Jalan Kuala Pilah-Seremban atau Laluan FT009 Kuala Pilah-Tampin,” katanya di sini.

Beliau berkata, Pusat Darul Widad di Port Dickson turut dinaiki air namun tiada pemindahan dibuat setakat ini.

Hujan lebat berterusan sejak tengah hari semalam menyebabkan beberapa lokasi di tiga negeri dinaiki air, iaitu Kuala Kubu Bharu, di Selangor; Nilai, Seremban dan Kuala Pilah, di Negeri Sembilan; serta Baling, di Kedah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.