Aktif semula majlis khas jaminan makanan, Muhyiddin beritahu kerajaan

Aktif semula majlis khas jaminan makanan, Muhyiddin beritahu kerajaan

Pengerusi majlis pemulihan negara berkata tindakan itu boleh meningkatkan hasil pengeluaran dalam negara.

Pengaktifan majlis itu perlu mengambil kira Malaysia tidak terkecuali daripada berdepan masalah bekalan makanan yang agak terjejas selepas pandemik, kata Pengerusi Majlis Pemulihan Negara Muhyiddin Yassin. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Kerajaan perlu mengaktifkan semula majlis khas bagi menangani masalah jaminan makanan yang pernah ditubuhkan sebelum ini bagi menangani krisis makanan.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Muhyiddin Yassin berkata, melalui pengaktifan semula majlis itu kerajaan boleh meningkatkan hasil pengeluaran dalam negara.

“Ini adalah masalah global dan Malaysia tidak terkecuali berdepan masalah bekalan bahan makanan yang agak terjejas selepas pandemik, sektor pengeluaran makanan seperti bahan makanan asas semakin berkurangan.

“Berikutan itu, kita cadangkan kepada kerajaan untuk mengaktifkan semula majlis yang sudah ada sebelum ini kerana ia dapat meningkatkan hasil pengeluaran dalam negara seperti bahan makanan kita. Ada (bahan makanan) yang sudah dikeluarkan, namun ia belum sampai ke tahap sara diri,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat MPN di Kementerian Kewangan.

Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah MPN membincangkan krisis bekalan makanan di negara ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, negara berupaya mengeluarkan bahan makanan sendiri, namun sektor berkenaan belum diteroka secara meluas.

Katanya, pengaktifan semula majlis itu bukan satu jalan penyelesaian, namun ia boleh menjadi satu daripada langkah dalam menangani masalah agromakanan yang dihadapi di negara kini.

“Banyak sebenarnya isu berkaitan pembangunan sektor agromakanan yang boleh diberi tumpuan sekali gus mendorong pelabur untuk mempertingkatkan sektor pertanian di negara ini dan membantu kita menangani masalah jaminan makanan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.