
Beliau berkata, pihak terbabit menggunakan kekuatan dan pengaruh luar serta dalam Malaysia untuk mempertikaikan keseluruhan sistem negara dan kedudukan kerajaan.
“Strategi mereka adalah menghubungi semua media asing dengan pendekatan mempertikaikan usaha kerajaan, khususnya SPRM.
“Kemudian menggunakan kekuatan dan hubungan dengan negara luar bagi membentuk naratif yang mempertikaikan kewibawaan Malaysia dan kerajaan, serta mengatur gerakan melalui Parlimen. Ini membimbangkan kita,” katanya pada sesi waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Shahidan Kassim (PN-Arau) yang meminta kerajaan menyatakan status siasatan polis berhubung dakwaan cubaan menjatuhkan kerajaan.
Pada 27 Feb lalu, Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail mengesahkan siasatan dakwaan konspirasi individu berpengaruh serta agensi media antarabangsa untuk mensabotaj kestabilan negara dan menjatuhkan kerajaan dibuat selepas menerima laporan mengenainya.
Katanya, siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengikut Seksyen 14B Kanun Keseksaan iaitu terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.
Bagaimanapun, beliau tidak menamakan individu berpengaruh dan agensi media antarabangsa terbabit.
Sementara itu, Anwar mendedahkan tindakan berkenaan bukan hanya membabitkan pihak luar negara yang bersekongkol dengan warga tempatan, malah pembabitan secara langsung kelompok Zionis terkemuka.
Beliau berkata, semua pihak perlu memberi sedikit lagi masa untuk polis melengkapkan siasatan, sebelum maklumat itu dapat dikongsi kepada umum, jika bersesuaian termasuk kepada Ahli Parlimen.
“Dan kalau esok tahu orang yang nak dipertahankan oleh Yang Berhormat Arau itu, itu antara kelompok Zionis terkemuka, digunakan dalam program ini, projek ini dan nanti tunggu sabar entah seminggu, dua minggu, bila keadaan ini terbongkar, boleh diceritakan.
“Apa kita nak pilih nak pertahan? Tak ada orang lain dalam dunia untuk pertahankan kedudukan kita selain daripada merujuk kepada tokoh Zionis ini, memang jelas menentang Islam dan negara-negara yang mempertahankan Gaza. Dan apatah lagi dengan kenyataan kita semalam (mengenai Iran),” katanya.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, konspirasi terancang membabitkan penggunaan agensi pelobi asing, jurubank dan agensi media antarabangsa itu bermula sejak Ogos 2024 dan akan berterusan sehingga PRU16.
Beliau berkata, kerajaan tentunya memandang serius cubaan itu dan jika diizinkan, Jabatan Peguam Negara, agensi penguatkuasaan serta Majlis Keselamatan Negara (MKN), boleh berkongsi maklumat mengenainya kepada wakil rakyat.
“Sebaik ada maklumat tambahan dan diizinkan Jabatan Peguam Negara, polis dan badan-badan penguatkuasaan, kalau perlu saya boleh memanggil untuk MKN boleh selaraskan satu perjumpaan dengan wakil-wakil kerajaan dan pembangkang.
“Ini supaya rakan-rakan dari pembangkang juga turut hadir dan mendengar apakah kita boleh bersama bekerja membantu menyelamatkan negara dan keselamatan negara kita,” katanya.