
Beliau menegaskan sebarang teguran atau komentar berhubung pengurusan ekonomi negara, terutama membabitkan isu kenaikan harga minyak dunia, seharusnya dilakukan berdasarkan ilmu serta fakta yang tepat, dan bukannya sekadar kritikan kosong.
“Krisis ekonomi bukan di tangan kita walaupun saya lihat kadang-kadang jeritan pembangkang itu canggih. Seluruh dunia digemparkan dengan krisis, bukan sahaja krisis minyak dan gas, krisis ekonomi, bukan sahaja isu Selat Hormuz, tetapi seluruh pengeluaran minyak itu terjejas.
“Harga minyak naik, dikritik saya dan kerajaan. Padahal sedaya upaya kita ikhtiar, RON95 itu di antara paling rendah di dunia… Untuk petani, nelayan, pengangkutan awam, semua diberikan subsidi, satu bulan RM6 bilion. Jadi inilah masa kita bincang secara baik (melibatkan) parti kerajaan, parti pembangkang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi ramah mesra bersama warga dan bekas pelajar SMK Clifford Kuala Kangsar.
Anwar menegaskan kerajaan mengambil langkah terbaik menangani krisis itu tanpa mengabaikan bebanan rakyat.
Beliau berkata dalam kalangan negara jiran Asean sudah ada negara yang terpaksa membuat catuan akibat kekurangan bekalan minyak.
“Di sebuah negara Asean, 400 stesen minyak ditutup. Renungkan perkara ini, kita ini bukan terkecuali daripada permasalahan ini.
“Sebab itu saya ajak rakan-rakan, ingat, yang mampu kita lakukan. Saya dah batalkan semua lawatan pemimpin, menteri ke luar negara kerana kos pengangkutan sudah tinggi,” katanya.