
Noh berkata, soal desas-desus menteri kewangan itu mahu bertanding di Kuala Selangor pada pilihan raya umum (PRU) akan datang biarlah ditentukan oleh pucuk pimpinan partinya.
“Bab nak bertanding mana ada tentukan lagi. Pembahagian kerusi belum selesai lagi.
“Jadi sebagai menteri, dia (Tengku Zafrul) sebagai anak Selangor, apa salahnya dia turun ke kawasan-kawasan.
“Saya dekat Selangor pula, saya perlukan lebih ramai menteri bantu saya untuk membela nasib orang Selangor. Jadi sekarang tak tentu siapa jadi calon,” katanya selepas merasmikan program usahawan baharu di ibu negara hari ini.
Semalam Umno Kuala Selangor menolak program membabitkan Tengku Zafrul susulan desas-desus menteri kewangan itu mengintai peluang bertanding di kerusi Parlimen berkenaan pada PRU akan datang.
Ketuanya, Jahaya Ibrahim, mengeluarkan notis berkenaan menerusi aplikasi WhatsApp selepas menerima aduan daripada ketua-ketua cawangannya.
Menurutnya, satu “gerakan” didalangi “anasir luar” sedang meraih sokongan ahli Umno tempatan untuk tujuan itu, sekali gus boleh memecahkan Umno Kuala Selangor.
Setakat ini belum ada maklumat mengenai keahlian Tengku Zafrul dalam mana-mana parti, namun Jahaya memaklumkan desas-desus mendakwa gerakan itu ingin Tengku Zafrul bertanding sebagai calon Umno.
Tiada sebarang maklum balas diberikan oleh Tengku Zafrul berhubung khabar angin itu sehingga kini.
Pada Januari, Tengku Zafrul memberitahu Sinar Harian bahawa beliau “tiada masa untuk berfikir sama ada bakal bertanding PRU15 atau tidak”, di sebalik spekulasi mengaitkannya dengan Parlimen Lembah Pantai dan Kuala Pilah.
Dalam pada itu, Noh yang juga menteri pembangunan usahawan dan koperasi berkata, masa ini bukan waktu untuk melobi menjadi calon dan sebagainya.
Beliau berkata, soal jadi calon itu juga tidak perlu dihebohkan.
“Saya pun tak tahu jadi calon ke tak. Jadi apa heboh sangat jadi calon.
“Biar pucuk pimpinan yang menentukan bila tiba masanya. Sekarang waktu bekerja bukan nak lobi jadi calon dan sebagainya,” katanya.