KPM kaji isu elaun guru warden asrama

KPM kaji isu elaun guru warden asrama

Radzi Jidin berkata kementerian sedar isu berkaitan guru warden asrama sudah berlarutan sekian lama.

Radji Jidin pada Majlis Jalinan Mesra Aidilfitri dan Hari Terbuka Kementerian Pendidikan hari ini. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Kementerian Pendidikan (KPM) sedang meneliti isu berkaitan guru warden asrama dalam usaha menambah baik perjawatan itu termasuk keperluan menaikkan elaun, kata Menterinya Radzi Jidin.

Beliau berkata, kementerian sedar isu berkaitan guru warden asrama sudah berlarutan sekian lama.

“Kita tahu warden di luar sana tertanya-tanya apakah pendekatan yang akan diambil oleh kementerian dan seperti mana saya sebut sebelum ini bahawa kita melihat perkara ini secara menyeluruh, kita ingin selesaikan perkara ini buat selama-lamanya, namun begitu ada kekangan-kekangan tertentu yang sedang kita selesaikan.

Kita sedar warden ni antara cabaran mereka apabila dia jadi warden dia akan rugi maknanya dari segi elaun, baik dia tak perlu jadi warden. Ini perkara kita sedang usahakan,” katanya kepada media di Majlis Jalinan Mesra Aidilfitri dan Hari Terbuka KPM di sini hari ini.

Terdahulu, ada pihak yang menggesa KPM mengkaji elaun guru warden asrama yang didakwa terlalu rendah iaitu RM240 sebulan yang dilihat tidak setimpal kerana mereka terpaksa bertugas sehingga 24 jam sehari.

“Ini perkara (elaun) kita sedang usahakan, maknanya kalau dia tidak jadi warden, elaun dia lagi bagus dari dia jadi warden, bila jadi warden elaun bukan sekadar sikit tetapi kena potong pula.

“Jadi ini perkara teknikal yang kita perlu bincang dengan agensi pusat dan kita sedang selesaikan, ini ambil sedikit masa. Tapi komitmen, kita sedar ada isunya dan kita sedang cuba selesaikan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.