
Ketua Polis Daerah Tawau, Jasmin Husin berkata, dalam serbuan pertama kira-kira 2.10 petang itu, seorang lelaki tempatan berusia 20 tahun turut ditahan selepas dipercayai terlibat dalam sindiket terbabit.
Katanya, serbuan dilakukan di sebuah premis di Jalan Stephen Tan dengan merampas dua kotak bungkusan plastik “teh Cina’ tertera tulisan ‘Guanyinwang’ yang disembunyikan dalam alat pembesar suara.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua bungkusan tersebut berisi bahan ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.
“Suspek yang merupakan seorang penganggur terus dibawa ke IPD Tawau untuk soal siasat dan kemudiannya membawa kepada serbuan kedua,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, hari ini.
Jasmin berkata, polis kemudiannya menyerbu sebuah rumah kedai yang disewa oleh suspek di Batu 3, Jalan Apas, pada 3.40 petang hari yang sama.
Katanya, mereka berjaya merampas lima bungkusan yang berisi bahan ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.
“Anggaran berat lima bungkusan itu adalah 5,156.92 gram. Keseluruhan tujuh bungkusan yang dirampas berisi dadah syabu ini dianggarkan seberat 7,193.33 gram bernilai RM258,948.
“Hasil siasatan lanjut mendapati semua bungkusan berisi dadah jenis syabu berkenaan dibawa masuk ke Sabah menggunakan perkhidmatan kurier untuk pasaran tempatan,” katanya.
Beliau berkata, siasatan awal juga mendapati suspek adalah rangkaian kepada satu sindiket pengedaran dadah dan polis masih meneruskan siasatan untuk mengenal pasti anggota sindiket lain yang terlibat dalam kes itu.
“Polis juga membuat semakan dan suspek mempunyai dua kesalahan lampau membabitkan kes jenayah.
“Siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan,” katanya.