Pemimpin Umno yang desak bubar Parlimen, DAP dipersalah, Loke bidas PM

Pemimpin Umno yang desak bubar Parlimen, DAP dipersalah, Loke bidas PM

Setiausaha Agung DAP itu menafikan mempertikai kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memperkenan pembubaran Parlimen.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata, desakan mengenai pembubaran Parlimen sebenarnya datang daripada pemimpin Umno, namun yang dipersalahkan adalah DAP. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menafikan beliau mempertikai kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memperkenan pembubaran Parlimen.

Beliau berkata, desakan mengenai pembubaran Parlimen sebenarnya datang daripada pemimpin Umno, namun yang dipersalahkan adalah DAP.

“Yang tekan perdana menteri untuk bubarkan Parlimen ialah pemimpin Umno, yang disalahkan pula ialah DAP! Ini pun salah DAP?

“Saya tak pernah mempertikaikan bahawa kuasa untuk memperkenankan pembubaran Parlimen ialah Yang Di-Pertuan Agong. Ini termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas kepada kenyataan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang mendakwa DAP tidak menghormati Agong.

Loke berkata, pihaknya tidak pernah meminta agar perdana menteri menyebut tarikh pembubaran sebaliknya mempersoal tindakan beliau memberikan kenyataan dan mesej yang tidak konsisten berhubung tarikh PRU15.

“Saya rasa kenyataan perdana menteri hari ini sebenarnya dituju kepada pemimpin Umno yang tekan dia untuk bubar Parlimen.

“Cuma beliau tidak boleh sebut orang Umno tak hormat Agong jadi DAP menjadi mangsa kepada pertelingkahan dalaman Umno,” katanya.

Loke di Facebook beliau sebelum ini berkata, perdana menteri perlu konsisten dan tegas dalam pendiriannya berkaitan tarikh pilihan raya.

Katanya, kenyataan dan mesej yang ‘flip-flop’ hanya akan menimbulkan ketidakstabilan politik yang berlanjutan dan akan memudaratkan lagi keadaan ekonomi negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.