
Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu Ariffin Deraman berkata, mereka turut diarahkan untuk melakukan pemantauan segera berhubung isu tular itu.
Katanya, pihaknya memandang serius kejadian yang didakwa berpunca daripada pencemaran sisa kumbahan yang tidak dirawat itu.
Bagaimanapun, sehingga kini JKNT dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Besut masih belum menerima sebarang laporan berhubung kes itu.
“Jika dakwaan itu benar, ia bukan hanya soal keselamatan pelancong tetapi imej negatif terhadap industri pelancongan negeri. Berdasarkan semakan data kejadian keracunan makanan dari 2021 hingga semalam mendapati, JKNT tiada menerima apa-apa notifikasi kes keracunan makanan berlaku di Pulau Perhentian.
“Namun, Mesyuarat Khas Tindakan Besut yang dipengerusikan pegawai daerah semalam telah mengarahkan JKNT mengambil sampel air yang didakwa tercemar serta melakukan pemantauan segera terhadap isu tular itu.
“Kerajaan negeri memandang serius perkara ini, terutama apabila membabitkan soal keselamatan pelancong kerana ia bukan hanya akan memberi imej negatif terhadap industri pelancongan tetapi juga boleh menjejaskan keyakinan pelancong untuk berkunjung ke pulau-pulau peranginan di Terengganu,” katanya dalam kenyataan, lapor Berita Harian.
FMT sebelum ini melaporkan enam individu mendakwa mereka mengalami keracunan makanan dan jatuh sakit selepas berenang di perairan pulau tersebut yang dipercayai tercemar dengan sisa kumbahan tidak dirawat.
Kesemua mereka mendakwa mula muntah-muntah pada malam terakhir percutian selama dua malam di lokasi tarikan pelancong itu.
Pengarah Kesihatan Terengganu Dr Kasemani Embong kemudian dipetik berkata, siasatan terperinci dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar insiden itu.