
Liew berkata, PH meletakkan pengangkutan awam bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan, sambil menegaskan ia berada bawah Jabatan Perdana menteri atau Kementerian Pembangunan Usahawan sebelum ini.
Beliau merujuk kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) ditubuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang digantikan dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) pada 2018 ketika PH memerintah.
“Lesen teksi dan bas diberikan kepada kroni Umno. Menteri pengangkutan berturut-turut dari MCA langsung tidak berperanan dalam membentuk dasar pengangkutan awam.
“Kerajaan PH melakukan perkara yang betul, mengeluarkan politik dan kronisme daripada pelesenan pengangkutan awam dengan meletakkan pengangkutan awam bawah Kementerian Pengangkutan,” katanya dalam catatan di Facebook.
Liew juga berkata, program pas perjalanan tanpa had My50 dan My100 yang diperkenalkan oleh bekas menteri pengangkutan Loke Siew Fook cukup popular sehingga ia diteruskan semasa pentadbiran bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin dan kini, Ismail Sabri Yaakob.
“Loke memainkan peranan penting dalam rundingan projek Sistem Transit Rapid (RTS) dan mengurangkan kos,” katanya.
Liew, yang juga ADUN Perling, turut mengutarakan beberapa isu yang memudaratkan pengangkutan awam sejak Wee menjadi menteri.
Ini termasuk pengurangan bas Rapid KL beroperasi daripada 1,000 kepada 400 sehari, projek Projek Landasan Kereta Api Berkembar Lembah Klang (KVDT2) terhenti, dan pengurangan Dana Sokongan Sementara Bas Berhenti-Henti (ISBSF).
Beliau memberitahu Wee agar bersikap “tenang” dan membincangkan perihal pengangkutan awam dan kesesakan lalu lintas secara profesional dan rasional.
“(Perkara ini) bukan mengenai beliau. Kesesakan lalu lintas yang teruk adalah masalah yang dihadapi oleh semua rakyat. Jadi, mari kita berbincang secara rasional,” katanya.
Pada Sabtu, Wee menyifatkan Liew sebagai “hipokrit” berhubung kritikan terhadap kesesakan lalu lintas. Beliau menyifatkan kerajaan PH, ketika ia memerintah, sebagai “anti-pengangkutan awam”.
Sebagai contoh, kata Wee, PH menghentikan atau menangguhkan beberapa projek infrastruktur pengangkutan awam mega semasa pemerintahannya.