Tambang bas sekolah naik tapi tidak lebih RM10, kata persatuan

Tambang bas sekolah naik tapi tidak lebih RM10, kata persatuan

Gabungan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (GPBSM) berkata, kenaikan itu bermula Julai ini bagi menampung kos operasi susulan tiada kawalan harga membabitkan alat ganti kenderaan.

Presiden Gabungan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (GPBSM), Mohd Rofik Mohd Yusof berkata, kos penyelenggaraan bulanan mencecah RM2,500 untuk bas dan RM800 bagi van.
PETALING JAYA:
Gabungan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (GPBSM) mungkin menaikkan tambang bas sekolah pada kadar tidak melebihi RM10, kata presidennya, Mohd Rofik Mohd Yusof.

Katanya, kenaikan itu bermula Julai ini bagi menampung peningkatan kos operasi.

“Kenaikan tambang bas sekolah tidak mampu dielakkan susulan tiada kawalan harga membabitkan alat ganti kenderaan,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Jelasnya lagi, pengusaha bas sekolah terpaksa menanggung kos penyelenggaraan yang tinggi sejak ekonomi kembali dibuka.

“Kos penyelenggaraan bulanan boleh mencecah RM2,500 untuk bas dan RM800 bagi van perlu ditanggung pengusaha.

“Jadi kami memang tersepit jika terus dengan tambang lama dan kenaikan ini memang terpaksa dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata, faktor mempengaruhi kenaikan juga disebabkan kekurangan pemandu bas sekolah.

Katanya, selepas pandemik, ramai pemandu hilang yang hilang pekerjaan kini sudah selesa dengan pekerjaan lain.

“Gaji sebelum ini RM1,500 hingga RM1,600 namun kini kenaikan sehingga RM2,500 diminta jika mahu kekosongan itu diisi.

“Kos ini juga perlu ditanggung pengusaha dan untuk bertahan bagi tempoh lama dengan kadar tambang lama memang mustahil,” katanya.

Katanya, ibu bapa juga diminta menggunakan perkhidmatan bas sekolah yang menjadi ahli persatuan agar kenaikan tidak mendadak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.