Ditampar, ditengking koperal kerana enggan beri ‘duit kopi’, peniaga fail saman

Ditampar, ditengking koperal kerana enggan beri ‘duit kopi’, peniaga fail saman

Kejadian didakwa berlaku ketika peniaga terbabit ditahan di Gua Musang, Jun tahun lalu.

Lelaki berusia 33 tahun mendakwa ditampar, ditengking dan cuba disepak dua koperal tentera dan polis selepas enggan menurut permintaan ‘duit kopi’ dalam kejadian di Gua Musang, Jun tahun lalu. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Tidak puas hati ditampar, ditengking serta cuba disepak dua koperal tentera dan polis kerana tidak menghulurkan “duit kopi”, seorang peniaga memfailkan saman di Mahkamah Tinggi, Kota Bharu, Kelantan, untuk menuntut ganti rugi.

Kejadian itu didakwa berlaku ketika peniaga terbabit ditahan di Gua Musang, Jun tahun lalu.

Peniaga terbabit, Mohd Safwan Omar, 33, sebagai plaintif menamakan anggota polis, Koperal Mohammad Safuan Jamaluddin sebagai defendan pertama; anggota tentera, Koperal Mohd Zawawi Ab Rahman (kedua); pegawai penyiasat, Inspektor Kamarulzaman Rafli (ketiga); ketua polis daerah Gua Musang (keempat); panglima angkatan tentera (kelima) dan kerajaan Malaysia (keenam).

Saman difailkan menerusi Tetuan Shaharuddin Hidayu dan Marwaliz.

Peguam cara plaintif, Shaharuddin Mohamed berkata, kejadian didakwa berlaku pada 6.15 pagi, 27 Jun 2020, semasa plaintif memandu pacuan empat roda jenis Toyota Hilux bersama isteri, Farrah Wahida Mohd dan anak-anak dalam perjalanan balik ke Aring, Gua Musang dari Kuala Lumpur dengan membawa sebuah motosikal abang plaintif di bahagian belakang kenderaan itu.

“Ketika di Bandar Utama Gua Musang, plaintif ditahan oleh defendan pertama dan kedua yang menaiki sebuah kereta peronda polis bertanya status motosikal di atas kenderaan lalu plaintif menunjukkan geran.

“Defendan pertama menyatakan plaintif melanggar lampu isyarat merah dan mengeluarkan buku saman serta menyuruh plaintif bertanya kepada defendan kedua yang kemudiannya didakwa meminta ‘duit kopi’ dengan plaintif,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Katanya, plaintif memberitahu tidak mempunyai wang dan disuruh meminta daripada isterinya namun juga memberitahu tidak mempunyai wang.

“Defendan kedua menyatakan plaintif bersikap kurang ajar dan menampar dengan kuat bahagian kiri muka plaintif serta mengarahkan plaintif duduk di tayar belakang kenderaannya.

“Defendan pertama didakwa menengking dan seolah-olah hendak menyepak plaintif serta mengetuk pintu cermin mengarahkan isteri plaintif keluar, namun isteri enggan kerana ketakutan selain anak-anak tidur. Defendan pertama juga didakwa bercakap kasar kepada isteri plaintif mengugut untuk membawanya ke balai polis,” katanya.

Beliau berkata, akibat tidak memberikan “duit kopi”, defendan pertama mengeluarkan saman trafik terhadap plaintif kerana kesalahan tidak patuh lampu isyarat merah.

“Hasil pemeriksaan Hospital Gua Musang mendapati plaintif mengalami kecederaan tisu di bahagian kiri muka. Oleh sebab itu, plaintif memohon penghakiman terhadap defendan-defendan iaitu ganti rugi am atas kecederaan, ganti rugi teladan dan teruk di atas tindakan menampar bahagian muka plaintif sehingga kecederaan yang teruk.

“Ganti rugi khas, faedah di atas jumlah penghakiman pada kadar lima peratus setahun dikira dari tarikh writ saman difailkan sehingga tarikh penghakiman dan faedah di atas jumlah penghakiman pada kadar lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga ke tarikh penjelasan sepenuhnya, kos guaman atau perintah yang mahkamah fikirkan patut serta adil,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.