Cuepacs mahu kerajaan laksana 3 langkah bantu penjawat awam

Cuepacs mahu kerajaan laksana 3 langkah bantu penjawat awam

Langkah itu ialah melaksanakan gaji minimum penjawat awam RM1,800, menaikkan dua tahap kenaikan gaji tahunan dan melaksanakan sistem saraan baharu lebih berkesan.

Presiden Cuepacs Adnan Mat berkata apa yang dilakukan kerajaan masih tidak mampu membantu menghadapi situasi, kedudukan kewangan dan gaji sekarang. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan melaksanakan tiga langkah penting bagi membantu penjawat awam yang kini terkesan akibat kenaikan harga barang.

Presidennya, Adnan Mat berkata, langkah itu ialah melaksanakan gaji minimum penjawat awam RM1,800, menaikkan dua tahap kenaikan gaji tahunan (KGT) dan melaksanakan sistem saraan baharu yang lebih berkesan.

“Kami tetap berterima kasih kepada kerajaan kerana melaksanakan beberapa langkah utama tangani kenaikan harga barang, tetapi pada masa ini masih tidak mampu membantu kami menghadapi situasi itu dengan kedudukan kewangan dan gaji kami sekarang,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis perhimpunan bersama penjawat awam.

Adnan berkata, pelaksanaan gaji minimum RM1,800 dalam sektor awam akan diikuti oleh sektor swasta yang seterusnya akan dilaksanakan secara menyeluruh dan lancar.

Katanya, gaji minimum itu juga akan memudahkan kerajaan mencapai sasaran pendapatan isi rumah RM10,000 sebulan bagi mencapai matlamat menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi menjelang 2025 dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

Mengenai cadangan sistem saraan baharu, Adnan berkata, sistem saraan Malaysia (SSM) sedia ada telah berusia kira-kira 20 tahun dan dilihat tidak berkesan dalam membantu penjawat awam dalam situasi masa kini.

“Diharap kerajaan menimbang cadangan kami untuk sebuah sistem saraan sektor awam yang baharu iaitu antaranya termasuk gaji minimum, peningkatan KGT, kenaikan pangkat dan gred, serta gred minimum 19 bagi memberi pendapatan lebih selesa dan adil untuk membantu penjawat awam,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.