
Timbalan menterinya, Rosol Wahid berkata, peniaga berkenaan dikatakan menjual ayam dengan harga tersebut secara terang-terangan sedangkan perbuatan itu melanggar peraturan.
“Setakat ini sudah beritahu penguat kuasa supaya memantau sebab kita ada laporan mereka yang buat (jual ayam melebihi harga ditetapkan) bukan secara tersorok tetapi sudah berani ambil gambar dan jual RM12 atau RM13 sekilogram.
“Ini melanggar harga kawalan kita iaitu RM8.90 sekilo. Kita akan tengok mengapa perkara ini berlaku. Ada yang kata peniaga dapat dengan harga mahal, macam mana nak jual dengan harga tersebut (harga yang diperoleh daripada pembekal). Itu alasan yang diberikan.

“Jadi kita akan siasat sebab kita dah tentukan harga dari ladang RM5.60 dan kerajaan beri subsidi kepada ladang ayam RM1.40 sekilogram.
“Harga ayam dari ladang mesti jual kepada pemborong RM5.60 sekilogram, campur subsidi kerajaan RM1.40 itu jumlahnya RM7. Jadi sepatutnya, tidak ada alasan untuk jual mahal,” katanya menurut laporan Sinar Harian.
Beliau berkata, setakat ini KPDNHEP sudah mengenakan kompaun sebanyak RM270,000 terhadap peniaga ayam yang ingkar dengan melibatkan 1,114 kes di seluruh negara sejak 5 Februari hingga Jumaat.
Selain itu, beliau berharap Ahli Parlimen dan ADUN di kawasan masing-masing akan menganjurkan jualan Keluarga Malaysia dengan harga rendah bagi membantu rakyat.
Rosol mencadangkan pengguna supaya memuat turun aplikasi Price Catcher yang disediakan KPDNHEP bukan sahaja untuk melihat harga ayam tetapi membandingkan harga barang keperluan harian lain sebelum membuat pembelian.
Menurutnya, masih ramai pengguna tidak mengetahui kewujudan aplikasi berkenaan yang amat berguna untuk melihat harga barang keperluan harian di kawasan mereka terutama di pasar raya berdekatan.
Mengenai bekalan ayam di seluruh negara, beliau berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) memaklumkan bekalan ayam setakat ini sehingga Aidiladha adalah mencukupi.
“Mafi urus semua sekali dan kita cuma pastikan bekalan ada atau tidak ada,” katanya.