Kenyataan diambil di luar konteks, kata peguam Arul Kanda

Kenyataan diambil di luar konteks, kata peguam Arul Kanda

N Sivananthan berkata, beberapa tajuk berita seolah-olah mengatakan bahawa Arul Kanda 'gembira' menjadi saksi pendakwaan terhadap Najib Razak.

Bekas CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy menegaskan beliau tidak sepatutnya didakwa, kata peguamnya.
PETALING JAYA:
Peguam bekas CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy berkata laporan berita tertentu memetik kenyataannya di mahkamah, hari ini, diambil “di luar konteks”.

N Sivananthan berkata, beberapa tajuk berita seolah-olah menggambarkan Arul Kanda “gembira” menjadi saksi pendakwaan terhadap Najib Razak.

Menjelaskan perkara itu, Sivananthan menegaskan anak guamnya masih menjadi tertuduh bersama dalam kes itu, sekali pun mungkin dipanggil menjadi saksi pendakwaan.

Menurutnya, ini disebabkan Arul Kanda wajib memberi keterangan mengikut peruntukan Seksyen 63 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kedua, menjadi pendirian anak guam saya ketika siasatan pertama kali dimulakan dalam isu ini oleh SPRM, beliau bekerjasama secara sukarela dan memberikan penyiasat semua maklumat yang ada dalam pengetahuannya,” katanya dalam kenyataan.

Arul Kanda tetap menegaskan beliau tidak sepatutnya didakwa, kata Sivananthan.

“Dan dalam konteks itu, sekiranya hakim yang bijaksana memutuskan bahawa beliau (Arul Kanda) mesti menjadi saksi pendakwaan, maka dalam keadaan itu beliau bersedia memberi kenyataan konsisten dengan kenyataan yang telah diberikannya kepada SPRM sebelum ini.”

Terdahulu hari ini, ketika disoal Hakim Mahkamah Tinggi Zaini Mazlan mengenai pendirian Arul Kanda berkaitan permohonan pendakwaan memanggilnya sebagai saksi, Sivananthan berkata, anak guamnya itu tegas berpegang dengan kenyataannya kepada SPRM pada 2018 dan “bersedia memberi keterangan”.

SPRM melancarkan siasatan terhadap “pindaan” laporan audit 1MDB selepas bekas ketua audit negara Madinah Mohamad mendakwa ia telah “dipinda” dengan pengetahuan Najib.

Mahkamah diberitahu pendakwaan mahu memanggil Arul Kanda memberi keterangan bagi pihak mereka, kerana beliau “mempunyai maklumat yang menjurus kepada pertuduhan dikenakan terhadap Najib berhubung mesyuarat pada 24 Feb 2016 dan perkara yang berlaku sebelum dan selepas itu”.

Najib sedang dibicarakan atas dakwaan salah guna kuasa sebagai perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu untuk mendapat kekebalan daripada tindakan undang-undang, dan menyebabkan laporan akhir audit 1MDB dipinda sebelum dibentang dalam mesyuarat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Arul Kanda turut didakwa bersubahat dengan Najib.

Zaini berkata beliau akan memberikan keputusannya, sama ada membenarkan permohonan pendakwaan itu, apabila perbicaraan bersambung pada 24 Jun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.