
Walaupun menyambut baik usaha memberikan subsidi tambang percuma, Syed Saddiq berkata inisiatif seperti itu tidak menyelesaikan masalah dihadapi pengguna pengangkutan awam yang semakin parah.
“Kerajaan harus menjawab persoalan yang masih lagi berbangkit walaupun subsidi RM155 juta ini diluluskan kerajaan. Pertama, adakah subsidi RM155 juta untuk tambang percuma ini dapat mengurangkan masalah kesesakan penumpang disebabkan kekerapan frekuensi jadual yang lama dan jumlah koc kereta api yang rendah?
“Kedua, adakah subsidi RM155 juta ini dapat meningkatkan kualiti kemudahan awam di stesen-stesen kereta api yang bermasalah, tidak mesra OKU dan rosak?,” katanya dalam kenyataan.
Hari ini, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan kerajaan akan menanggung subsidi sebanyak RM155 juta sepanjang tempoh pemberian tambang percuma selama sebulan.
Tambang percuma itu membabitkan perkhidmatan MRT, LRT, BRT, Monorel serta bas RapidKL selama sebulan bermula hari ini.
Ahli Parlimen Muar itu ketika mengulas lanjut, turut mencadangkan tiga cadangan yang dianggap “lebih baik” dalam menyelesaikan isu pengangkutan awam.
“Pertama menambah jumlah kereta api dan koc kereta api kepada penumpang. Cadangan ini berupaya untuk meningkatkan jumlah kapasiti penumpang dalam satu-satu masa. Kedua, menambah jumlah bas awam untuk penumpang. Cadangan ini juga dapat menambah jumlah laluan bas ke kawasan baharu.
“Cadangan ketiga, ialah naik taraf kemudahan di setiap stesen. Stesen sedia ada mempunyai masalah serius dalam menjaga kemudahan untuk orang ramai termasuklah kemudahan untuk warga emas, OKU,” katanya.
Beliau berkata, isu keselamatan juga menjadi perhatian apabila infrastruktur seperti lampu tidak bernyala, lantai basah kerana kebocoran siling dan lif yang tidak berfungsi.