
Young Syefura Othman berkata, walaupun beliau menyokong idea di luar kotak dan cadangan yang boleh membantu membangunkan negara, tetapi idea Ahli Parlimen Padang Rengas itu terpisah daripada realiti yang perlu dilalui rakyat Malaysia setiap tahun.
Katanya, walaupun situasi pasca banjir, khasnya beberapa hari selepas bencana itu berlaku memerlukan ramai sukarelawan untuk membantu mangsa dengan kerja pembersihan, secara etikanya ia salah bagi sesiapa sahaja untuk melihatnya sebagai satu cara mempromosikan pelancongan.
Beliau menegur sikap bekas menteri pelancongan dan kebudayaan itu yang kurang empati serta tidak peka terhadap kesusahan yang dihadapi rakyat ketika banjir memusnahkan harta benda dan kadangkala mengorbankan nyawa.
Young Syefura mengulas laporan portal bahasa Inggeris, Sinar Daily semalam yang memetik Nazri sebagai berkata, dengan perancangan betul, banjir tahunan berpotensi menjadi “tarikan pelancongan” dan Malaysia harus mencari peluang mempromosikan “pelancongan kesukarelawanan”.
“Mungkin kita boleh mengadakan pelancongan kesukarelawanan dengan orang ramai datang ke negara ini untuk membantu kita menghadapi banjir. Ia bukan sahaja untuk mereka datang ke sini berseronok, tetapi juga untuk mereka belajar,” katanya menurut laporan itu.
ADUN Ketari itu berkata, kerosakan teruk akibat banjir di kawasannya di Pahang pada Disember lalu turut menjejaskan banyak destinasi pelancongan setempat, khususnya Janda Baik.
“Apatah lagi infrastruktur seperti jambatan dan jalan tidak dibaiki langsung oleh kerajaan negeri, kementerian, jabatan dan agensi berkaitan.”
Beliau menggesa pihak berkuasa dan pihak berkaitan lain melawat Ketari kerana masih ramai penduduk belum menerima bantuan baik pulih pasca banjir.
“Saya juga ingin menjemput mana-mana pihak berdialog dengan semua mangsa banjir mengenai trauma yang mereka hadapi sebagai mangsa banjir,” kata Young Syefura.
“Mungkin dengan cara ini, pemimpin yang tuli dan buta hati boleh lebih memahami perasaan rakyat yang masih terkapai-kapai mencari semula langkah untuk menyambung sisa hidup mereka, setelah seluruh harta benda dan kehidupan hanyut dibawa arus banjir.”