Muhyiddin tak serah RM1.3 juta kepada bendahari Bersatu, kata Dr M

Muhyiddin tak serah RM1.3 juta kepada bendahari Bersatu, kata Dr M

Dr Mahathir Mohamad yang juga bekas pengerusi Bersatu merujuk sumbangan RM1.3 juta didakwa diterima Muhyiddin Yassin daripada Ultra Kirana Sdn Bhd antara Jun dan Ogos 2018.

Dr Mahathir Mohamad berkata berdasarkan undang-undang kecil Bersatu, jika pemimpin parti menerima sumbangan daripada mana-mana pihak, ia hendaklah diserahkan kepada bahagian kewangan.
KUALA LUMPUR:
Dr Mahathir Mohamad mendedahkan semasa beliau menjadi pengerusi Bersatu, Muhyiddin Yassin tidak pernah menyerahkan RM1.3 juta kepada bendahari parti itu.

Bekas pengerusi Bersatu itu merujuk sumbangan RM1.3 juta didakwa diterima Muhyiddin daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) antara Jun dan Ogos 2018.

Mahathir berkata, berdasarkan undang-undang kecil Bersatu, jika pemimpin parti menerima sumbangan daripada mana-mana pihak, ia hendaklah diserahkan kepada bahagian kewangan.

“Jadi, setakat yang saya tahu Bersatu tak terima RM1.3 juta. Sama ada Muhyiddin terima atau tidak daripada (UKSB) saya tak berani kata tapi nampak ada tuduhan yang dia terima sebab ada penafian dibuat oleh Muhyiddin.

“Hanya Muhyiddin saja boleh tentukan sebab kami tak dapat maklumat, kalau dia terima duit itu sepatutnya serah kepada bendahari,” katanya dalam sidang media di Dewan Seri Kasih Cheras.

Mahathir diminta mengulas mengenai dakwaan Muhyiddin menerima RM1.3 juta daripada UKSB oleh saksi pendakwaan ke-17, David Tan dalam perbicaraan kes rasuah Ahmad Zahid Hamidi.

Muhyiddin bagaimanapun berkata dakwaan itu adalah palsu.

Johor keluar Malaysia

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kenyataan Johor keluar dari Malaysia kerana dianaktirikan, Mahathir berkata ia merupakan “kenyataan yang serius”.

“Kita sebenarnya ada undang–undang yang berkata sesiapa yang cuba ‘withdraw’ (gugurkan) negeri atau secede (keluar) dari Malaysia itu adalah satu jenayah tetapi kita ada orang yang duduk lebih tinggi daripada undang-undang kita.

“Apabila orang sebegini cakap sedemikian dia amat serius tetapi tindakan tak boleh diambil, kerana dia tidak tertakluk undang-undang negara kita,” katanya tanpa menamakan mana-mana pihak.

Pada 16 Jun lalu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menggesa kerajaan persekutuan memberikan peruntukan lebih banyak kepada negeri itu berikutan setiap tahun hampir RM13 bilion hasil persekutuan dikutip dari Johor.

Baginda bertitah, ini berikutan beberapa tindakan kerajaan Persekutuan dilihat seolah-olah menganaktirikan Johor dalam beberapa keputusan yang dibuat.

Baginda membangkitkan rasa sedih dengan keadaan bangunan persekutuan yang tidak diselenggara dengan baik seperti Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sultan Iskandar.

Sultan Johor turut menyatakan kemungkinan negeri itu akan lebih maju jika berdiri atas kaki sendiri.

“Saya rasa seolah-olah Johor ini dianaktirikan, walhal Johor adalah antara penyumbang utama ekonomi negara. Saya menyeru kerajaan persekutuan segera tunaikan janji untuk menaik taraf Lebuhraya Utara Selatan kepada enam lorong dan Lebuhraya Senai-Desaru menjadi empat lorong sepenuhnya.

“Lihatlah juga keadaan jalan-jalan persekutuan yang rosak dan berlubang, contohnya jalan Johor Bahru-Mersing yang membahayakan pengguna jalan raya,” titah baginda.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.