Pemandu lori tak mengaku memandu mabuk sebabkan kematian penjawat awam

Pemandu lori tak mengaku memandu mabuk sebabkan kematian penjawat awam

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 1 Jalan Kuala Dipang-Malim Nawar jam 11.45 malam pada 5 Jun 2022.

Tertuduh yang memandu kereta Honda Civic berada di bawah pengaruh minuman memabukkan sehingga tidak berdaya mengawal kenderaan itu dan menyebabkan kematian seorang penjawat awam dalam kemalangan di KM 1 Jalan Kuala Dipang-Malim Nawar, Perak. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kampar atas dakwaan memandu dalam keadaan mabuk hingga mengakibatkan kematian seorang lelaki pada 5 Jun lalu.

Tertuduh, K Suntharalingam, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan majistret T R Kavita.

Harian Metro melaporkan, berdasarkan pertuduhan, dia yang memandu kereta Honda Civic berada di bawah pengaruh minuman yang memabukkan sehingga tidak berdaya mengawal kenderaan itu dan menyebabkan kematian penjawat awam, Mohd Nazri Sham Aring, 42.

Dia melakukan kesalahan itu di Kilometer 1 Jalan Kuala Dipang-Malim Nawar jam 11.45 malam pada 5 Jun 2022.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 44 (1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) yang memperuntukkan hukuman dipenjara selama tempoh tidak kurang daripada sepuluh tahun dan maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang RM50,000 dan maksimum 100,000, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya M Esther Jacyntha mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Baldip Singh.

Esther menawarkan wang jaminan RM10,000, bagaimanapun Baldip memohon wang jaminan dikurangkan berikutan anak guamnya yang sudah berkahwin dengan isteri yang sarat mengandung.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM5,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin selain syarat tambahan lesen digantung sehingga kes selesai dan tidak dibenarkan keluar dari negeri itu tanpa kebenaran ketua polis Negeri.

Mahkamah menetapkan 13 Julai hadapan untuk sebutan semula kes.

Media pada 6 Jun lalu melaporkan, seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah lagi kenderaan disyaki dipandu dalam keadaan mabuk.

Mangsa, Mohd Nazri yang cedera di dada disahkan maut di tempat kejadian manakala anak mangsa berusia tiga tahun mengalami pendarahan dalaman di kepala dan isterinya mengalami cedera ringan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.