
Penganalisis politik Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mungkin tidak akan bertindak balas sekali gus mencetuskan pilihan raya umum (PRU) awal.
“Saya tak rasa Bersatu bersedia untuk PRU15 dalam masa terdekat. Selain itu, langkah itu akan menimbulkan keraguan bahawa Bersatu mengutamakan parti lebih daripada kesejahteraan negara,” katanya kepada FMT.
Zuraida, yang menjadi menteri semasa berada dalam Bersatu, meninggalkan parti itu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang baharu ditubuhkan bulan lepas dan dinamakan sebagai bakal presiden. Beliau dikatakan berharap untuk mengekalkan jawatannya dalam Jemaah Menteri.
Bagaimanapun Muhyiddin sebelum ini berkata, beliau menganggap Zuraida patut digantikan memandangkan jawatannya dipegang menerusi kuota Bersatu, namun menyerahkannya kepada perdana menteri untuk membuat keputusan.
Azmi berkata, beliau menjangkakan Ismail akan mengekalkan Zuraida dalam Jemaah Menteri dan tidak akan melayan gesaan daripada Bersatu agar menteri perusahaan perladangan dan komoditi itu digantikan.
“Memandangkan PRU ke-15 tak lama lagi, tak masuk akal jika Ismail menggantikannya dengan menteri baharu,” katanya.
Sementara itu, Oh Ei Sun daripada Institut Penyelidikan Antarabangsa Singapura berkata, Ismail berada dalam dilema berhubung kedudukan Zuraida memandangkan Umno akan membantah keras jika beliau menggantikannya dengan ahli Parlimen Bersatu yang lain.
Bagaimanapun, beliau beranggapan bahawa PBM mempunyai alasan untuk meminta jawatan dalam Jemaah Menteri kerana ia mempunyai tiga ahli Parlimen, iaitu Zuraida, Steven Choong (Tebrau) dan Larry Sng (Julau).
Mereka sehaluan dengan gabungan pemerintah, walaupun PBM bukan komponen Barisan Nasional (BN).
Parti itu telah menyatakan minat untuk menganggotai BN, tetapi Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata minggu lepas bahawa belum ada permohonan diterima daripada parti itu.