Mahathir minta saya bubar Umno pada 2018, kata Zahid

Mahathir minta saya bubar Umno pada 2018, kata Zahid

Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa terdapat percubaan untuk membatalkan pendaftaran Umno semasa Muhyiddin Yassin menjadi menteri dalam negeri ketika pentadbiran PH.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mendakwa Dr Mahathir Mohamad memintanya membubarkan Umno dan menyertai Bersatu pada September 2018. (Bernama pic)
KUALA LUMPUR:
Dr Mahathir Mohamad memberitahu pertemuan yang dihadiri lima pemimpin tertinggi Umno pada September 2018 bahawa parti itu perlu dibubarkan, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata, timbalan presiden Mohamad Hasan dan naib presiden Ismail Sabri Yaakob, Mahdzir Khalid dan Khaled Noordin turut serta dalam pertemuan dengan Mahathir yang menjadi perdana menteri ketika itu.

“Saya berjumpa Mahathir empat kali dan dia mengulangi apa yang diberitahu kepada saya pada Jun tahun tersebut,” kata Zahid ketika pemeriksaan balas oleh peguam Ahmad Zaidi Zainal pada perbicaraan kes rasuah.

“Saya ingat kata-kata itu dengan jelas. Dia meminta saya membubarkan Umno, meminta saya melompat dan menyertai Bersatu, tetapi saya menolak,” katanya.

Terdahulu Zahid berkata, beliau bertemu Mahathir pada Jun dan diberitahu bahawa Umno tidak mempunyai masa depan dengan “pemimpin rasuah” yang ditolak oleh orang Melayu.

Mahathir kembali sebagai perdana menteri buat kali kedua selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei 2018. Mahathir adalah pengerusi Bersatu ketika itu.

Zahid berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mula menyiasatnya selepas pertemuan pertamanya dengan Mahathir pada Jun 2018, dan dia didakwa di mahkamah pada 18 Okt 2018.

Beliau juga berkata, 12 Ahli Parlimen Umno, diketuai Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainuddin, berpaling tadah kepada Bersatu ketika beliau bercuti pada akhir 2018.

“Ahli Parlimen Umno kemudiannya berkurang kepada 42 orang. Ini menunjukkan mereka (Bersatu) bersekongkol untuk memecahbelahkan dan memerintah Umno dengan meminta Ahli Parlimen kita berpaling tadah,” kata Zahid.

Zahid menambah, terdapat percubaan untuk membatalkan pendaftaran Umno semasa Muhyiddin Yassin menjadi menteri dalam negeri ketika pentadbiran PH.

Beliau juga menafikan telah meminta bantuan Muhyiddin untuk menggugurkan pertuduhan rasuah yang dihadapinya di sini dan di Mahkamah Tinggi di Shah Alam.

Zahid dibicarakan atas 47 pertuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah membabitkan berjuta-juta wang daripada Yayasan Akalbudi, dan menerima rasuah untuk pelbagai projek semasa beliau menjadi menteri dalam negeri.

Dua belas daripada pertuduhan adalah untuk pecah amanah jenayah, lapan rasuah dan baki 27 adalah pengubahan wang haram.

Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.