
Juruanalisis Unit Siasatan Audio Video Makmal Forensik Mior Samsul Abd Rahman berkata, beliau tidak mengetahui gambar membabitkan kecederaan remaja itu disebarkan oleh aktivis dikenali sebagai Mona Din dalam Facebook miliknya pada 12 Ogos 2021 diperoleh daripada sumber mana.
Disoal oleh peguam Asiah Abd Jalil yang mewakili pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali bahawa gambar itu dibocorkan oleh Mona Din bersumberkan daripada telefon bimbit yang ada pada milikan pihak polis, saksi itu menjawab: Itu saya tidak tahu.
Asiah: Saya cadangkan ketika inspektor membuat analisis pada kandungan telefon bimbit dan menyiapkan laporan pada 9 Ogos 2021, telefon bimbit itu berada di tangan pihak polis sepanjang masa, setuju?
Mior Samsul: Ya, sepanjang masa telefon bimbit itu berada di tangan saya.
Saksi pendakwaan ke-10 itu menolak cadangan peguam bahawa ada pegawai lain selain dirinya yang mengendalikan telefon bimbit tersebut dan membocorkan gambar itu kepada orang awam.
Terdahulu, Mior Samsul berkata, semua barang kes dianalisis mengikut prosedur ditetapkan serta peralatan yang digunakan untuk menganalisis berada dalam keadaan baik.
Mior Samsul dalam pernyataan saksinya sebelum ini berkata, pada 22 Julai 2021, beliau menerima permohonan analisis berkaitan kes itu dan menerima barang kes, iaitu sebuah telefon bimbit jenama iPhone bersama satu kad sim Maxis yang dihantar oleh inspektor Suhaili Mahad.
Menurut Mior Samsul permohonan pegawai penyiasat dalam kes itu adalah untuk menjelaskan gambar kecederaan daripada video bertarikh 24 Jun 2021.
Siti Bainun, 30, menghadapi dua pertuduhan, iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021. Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 itu membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan hakim Izralizam Sanusi bersambung.