Mahu hapus stereotaip, guru bulatkan azam didik pelarian

Mahu hapus stereotaip, guru bulatkan azam didik pelarian

Esther Wong berkata, pendidikan akan membantu pelarian menonjolkan kebolehan mereka, bukannya sekadar dilabel negatif atau disisihkan masyarakat.

Esther Wong dan pelajar-pelajarnya dari pusat pembelajaran pelarian semasa gotong-royong yang diadakan di Klang.
PETALING JAYA:
Mendidik pelarian di Malaysia mungkin tidak dianggap penting bagi kebanyakan orang, namun seorang guru gigih berusaha menghapuskan stereotaip terhadap golongan itu menerusi pendidikan.

Esther Wong, seorang pendidik di El Shaddai Refugee Learning Centre berkata, ramai pelarian kanak-kanak – termasuk semuda 12 tahun – memikul tanggungjawab besar untuk menjaga keluarga mereka.

“Tiada siapa melihat kesusahan mereka, sebaliknya terus mudah melabelkan mereka sebagai pembuat kacau. Cara terbaik untuk membantu mereka bebas daripada stereotaip itu adalah dengan pendidikan,” katanya kepada FMT pada satu acara gotong-royong Ahad lepas.

Dengan pendidikan katanya, kanak-kanak ini akan dapat menonjolkan kebolehan mereka, berbanding terikat dengan stereotaip dan disisihkan masyarakat.

“Ia juga akan membina keyakinan diri selain memberi mereka harapan untuk mencapai impian satu hari nanti,” katanya.

Wong, 49, berkata, Malaysia tidak mampu menawarkan peluang terbaik kepada kanak-kanak berkenaan, seterusnya berharap ilmu yang dibekalkan dapat membantu mereka apabila dibenarkan menetap di negara lain.

“Mereka mempunyai potensi begitu besar dan saya mahu membantu mereka membentuknya,” katanya.

“Saya harap mereka membesar menjadi pemimpin yang mampu berkhidmat untuk masyarakat mereka pula apabila tiba masanya nanti.”

Esther Wong bersama Foyas, Nor dan Hafiz, serta pengasas Refugee Academy, Shafiullah.

Wong bertugas di pusat itu sejak 2018 dan bekerja rapat dengan pengasas Refugee Academy, Shafiullah. Beliau mengajar kanak-kanak bahasa Inggeris, matematik dan sains tahap sekolah rendah, selain perbualan bahasa Inggeris untuk golongan dewasa beberapa kali seminggu.

“Saya buat ini kerana percaya golongan pelarian berhak mendapat hak asasi ini sama seperti sesiapa sahaja di negara ini,” katanya.

Beberapa pelajarnya di pusat itu, yang turut membantu dalam gotong-royong berkenaan, memberitahu FMT mereka bersyukur diberi pendidikan untuk membantu mencapai impian.

Seorang daripadanya, Foyas berkata, beliau mahu menguasai bahasa Inggeris kerana ingin menjadi penulis suatu hari nanti.

“Saya mahu menulis mengenai raja-raja dan Rohingya,” kata remaja berusia 15 tahun itu, sambil mengakui masih banyak perlu dipelajarinya.

Beliau turut percaya mempelajari bahasa itu akan membantunya berkomunikasi lebih baik dengan rakyat Malaysia.

“Mungkin ini akan membolehkan mereka memahami kami, dan kita boleh saling membantu,” katanya.

Foyas datang ke Malaysia dari Myanmar pada usia 12 tahun bersama keluarganya. Dia mengimpikan untuk kembali ke kampung halamannya satu hari nanti untuk menemui kakaknya yang terpaksa ditinggalkan di situ.

Seorang lagi pelajar, Hafiz, 12, menyimpan cita-cita menjadi guru dan mengakui ia diinspirasikan oleh tenaga pengajar di pusat berkenaan.

“Saya perlu berusaha keras dan saya yakin dapat jadi guru yang baik,” katanya.

Sementara itu, Nor, 16, berkata, menguasai bahasa Inggeris pasti membantu mereka apabila dibenarkan menetap di negara lain seperti Amerika Syarikat atau Kanada.

“Ada antara rakan kami sudah berada di negara-negara itu dan kami juga ingin pergi ke sana bagi memulakan kehidupan baharu,” katanya.

Acara gotong-royong di Padang Sentosa yang dimulakan oleh Majlis Bandaraya Klang itu dihadiri 90 orang terdiri daripada 70 pelarian, yang kebanyakannya etnik Rohingya, dan sekurang-kurangnya 20 penduduk tempatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.