Tiada sesen pun peruntukan KPM untuk mesyuarat PIBG di Tanah Merah

Tiada sesen pun peruntukan KPM untuk mesyuarat PIBG di Tanah Merah

Menteri kanan pendidikan berkata berdasarkan semakan KPM, semua sumbangan dan perbelanjaan program itu dibiayai Ahli Parlimen Tanah Merah.

Radzi Jidin berkata tiada peruntukan daripada Kementerian Pendidikan untuk membiayai majlis perasmian mesyuarat agung PIBG secara berkelompok sekolah di Tanah Merah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kementerian Pendidikan (KPM) tidak mengeluarkan satu sen pun peruntukan dalam penganjuran mesyuarat agung tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Tanah Merah, kata Radzi Jidin.

Menteri kanan pendidikan berkata, semua sumbangan dan perbelanjaan program anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) itu dibiayai Ahli Parlimen Tanah Merah Ikmal Hisham Abdul Aziz.

“Untuk makluman semua, semakan kementerian mendapati tiada sesen pun peruntukan KPM sama ada di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN),  PPD atau sekolah digunakan untuk membiayai majlis perasmian mesyuarat agung PIBG secara berkelompok sekolah di Tanah Merah,” katanya di Facebook.

Beliau mengulas kenyataan bekas perdana menteri Najib Razak yang mempersoalkan pemberian sebuah Perodua Axia oleh Ahli Parlimen Tanah Merah itu dalam program berasingan.

Semalam, Ikmal daripada Bersatu menafikan pemberian jam tangan G-Shock dalam majlis pelancaran Perikatan Nasional (PN) Kelantan, baru-baru ini.

Katanya, tidak munasabah belasan juta ringgit dibelanjakan bagi tujuan pemberian cenderahati berupa jam tangan itu seperti didakwa.

Terdahulu, Najib berkata acara itu dikatakan adalah mesyuarat agung tahunan PIBG di Tanah Merah anjuran PPD dan dirasmikan Ikmal.

Bekas perdana menteri itu memetik surat jemputan yang dikatakan dikeluarkan guru besar Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Gading, menyatakan acara pada 2 Julai itu turut menawarkan hadiah utama sebuah kereta untuk cabutan bertuah.

Hadiah lain disediakan termasuk lima motosikal, 10 ekor lembu, 10 televisyen 40 inci, 20 telefon bimbit dan 200 hamper, selain kira-kira 100 ekor kambing golek disediakan untuk orang ramai.

Dalam hantaran di Facebook, Najib menegaskan Ikmal yang juga timbalan menteri pertahanan, dan individu lain memakai baju PN dalam majlis itu.

Ahli Parlimen Pekan itu mempersoalkan sama ada Kementerian Pendidikan atau PN yang menanggung semua kos perbelanjaan acara berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.