Malaysia, Turki setuju pastikan rantaian makanan cukup, stabil

Malaysia, Turki setuju pastikan rantaian makanan cukup, stabil

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau dan Presiden Recep Tayyip Erdogan sependapat bahawa isu keselamatan makanan kian meruncing akibat pandemik Covid-19.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob (kiri) bersalaman dengan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan di Kompleks Presiden di Ankara hari ini. (Gambar Bernama)
ANKARA:
Malaysia dan Turki bersetuju bekerjasama bagi memastikan rantaian bekalan makanan sentiasa mencukupi serta stabil.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau dan Presiden Recep Tayyip Erdogan sependapat bahawa isu keselamatan makanan kian meruncing akibat pandemik Covid-19.

“Malah kini menjadi semakin kritikal ekoran konflik Rusia-Ukraine,” katanya pada sidang media bersama presiden Turki itu di Kompleks Presiden di sini hari ini, yang turut disiarkan secara langsung oleh beberapa stesen televisyen Turki dan Malaysia termasuk Bernama TV.

Menurut Ismail yang dalam rangka lawatan rasmi empat hari ke republik itu atas jemputan Erdogan, antara langkah segera bagi mendepani isu ini yang diambil Malaysia dan Turkiye ialah untuk meningkatkan perdagangan produk makanan, dan akan terus menjalinkan kerjasama yang meliputi perkongsian maklumat serta pengalaman.

Pada masa sama, kedua-dua negara akan memperkasa penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam sektor makanan bagi meningkatkan keupayaan menghasilkan sumber makanan serta kelangsungan sekuriti makanan untuk berada pada tahap yang stabil.

Perdana menteri juga berkata beliau telah menyampaikan berita baik kepada Erdogan bahawa kerajaan Malaysia telah mengiktiraf ijazah dari 208 universiti di Turki.

“Saya yakin ini akan meningkatkan produk-produk penyelidikan bertaraf antarabangsa dari universiti kedua-dua negara. Tambahan lagi, ia adalah khabar yang dinanti-nantikan oleh anak-anak Keluarga Malaysia yang telah dan sedang menimba ilmu di negara ini,” katanya.

Ismail berkata beliau dan Erdogan mengakui kerjasama industri pertahanan antara kedua-dua negara perlu dipertingkat.

“Saya telah memaklumkan kepada presiden bahawa dalam rangka lawatan ini, saya turut berpeluang mengadakan pertemuan dan lawatan dengan beberapa pemain industri pertahanan di Turki,” katanya yang telah melawat dua syarikat pemain utama industri pertahanan dan aeroangkasa Turki iaitu MKE Corporation dan Turkish Aerospace Industries (TAI) semalam.

Kedua-dua negara Islam itu juga sependapat berhubung sokongan berterusan kepada perjuangan Palestin, kata Ismail sambil menambah Malaysia menghargai pendirian dan usaha Turki dalam membela rakyat Palestin.

“Kedua-dua negara bersama negara yang berfikiran serupa akan terus menyelaras usaha ke arah menamatkan pendudukan rejim Zionis dan merealisasikan Palestin sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat,” katanya.

Mengenai konflik berpanjangan Rusia-Ukraine, perdana menteri berkata beliau memuji usaha Erdogan untuk mencari jalan perdamaian bagi mengakhiri konflik ini dan mereka bersetuju agar semua pihak yang terlibat mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan konflik yang menggugat keamanan sejagat itu.

Pada pertemuan dengan Erdogan itu juga, perdana menteri berkata beliau mengucapkan tahniah kepada presiden atas penerimaan permohonan pertukaran nama Turki kepada Turkiye yang telah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini.

Pada lawatan itu, Ismail diiringi Menteri Luar Saifuddin Abdullah, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Dr Adham Baba, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Abdul Latiff Ahmad, Panglima Tentera Udara Mohd Asghar Khan Goriman Khan dan Panglima Tentera Darat Zamrose Mohd Zain.

Turki adalah rakan kongsi perdagangan ketiga terbesar Malaysia di Timur Tengah selepas Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan jumlah perdagangan antara kedua-dua negara merekodkan RM16.97 bilion (USD4.09 bilion) pada 2021 dan projek dilaksanakan bernilai RM444.59 juta (USD130.91 juta).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.