
Peguam pihak yang menuntut dilaporkan merampas aset Petronas didaftarkan di Luxembourg, Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus, menurut Financial Times.
Laporan itu menyebut, tindakan merampas Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus itu sebahagian daripada tindakan undang-undang dikemukakan pada 2017 oleh waris Sulu untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah di Sabah yang didakwa dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.
Akhbar harian itu melaporkan peguam berkenaan di Luxembourg merampas syarikat induk yang dianggarkan bernilai lebih RM8.87 bilion bagi pihak pelanggan mereka, pada Isnin.
Susulan laporan itu, FMT telah menghubungi Petronas untuk mendapatkan komen.
“Kes ini adalah suatu sejarah penjajahan,” kata peguam waris Sultan Sulu Elizabeth Mason dalam laporan Financial Times.
“Tidak seperti kebanyakan orang yang kehilangan haknya, pelanggan kami telah menandatangani kontrak sejak 1878, jadi kami mempunyai jalan keadilan yang tidak dilakukan oleh orang lain.”
Pertikaian itu timbul daripada perjanjian ditandatangani Sultan Sulu Jamal Al-Alam dan Maharaja Sabah ketika itu, Baron De Overbeck serta Alfred Dent yang mewakili syarikat British Utara Borneo pada 1878.
Bawah perjanjian itu, Jamal menyerahkan kedaulatan ke atas sebahagian besar Sabah kepada Dent dan Overbeck, yang bersetuju bahawa mereka mahupun bakal waris mereka akan membayar sebanyak 5,000 dolar Mexico setahun kepada waris Sultan.
Pada 1936, Sultan Sulu terakhir yang diiktiraf secara rasmi, Jamalul Kiram II, mangkat tanpa waris dan pembayaran dihentikan buat sementara waktu sehingga Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Borneo Utara Charles F Macaskie menamakan sembilan waris yang dilantik oleh mahkamah pada 1939.
Pembayaran kepada waris terbabit diteruskan hingga ke zaman moden apabila Malaysia menjadi penerus perjanjian itu berikutan kemerdekaan Sabah dan pembentukan Persekutuan Malaysia pada 1963.
Tetapi selepas pencerobohan Lahad Datu pada 2013, Malaysia berhenti membayar pampasan tahunan kira-kira RM5,300 kepada waris Sultan Sulu.
Kerajaan tidak mengiktiraf tuntutan dan prosiding timbang tara berkaitan arahan pembayaran pampasan berjumlah RM62.59 bilion kepada waris Sultan Sulu yang diputuskan oleh Mahkamah Arbitrasi Paris, dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ia memandangkan lantikan penimbang tara dilantik, Dr Gonzalo Stampa telah dibatalkan dan tidak lagi sah dari segi undang-undang.