Perkongsian hasil Sabah bukan model untuk negeri lain, kata Salleh

Perkongsian hasil Sabah bukan model untuk negeri lain, kata Salleh

Pemimpin veteran Sabah Salleh Said Keruak berkata kedudukan negeri itu berasaskan Perlembagaan yang khusus bagi Sabah dan Sarawak.

Salleh Said Keruak
Bekas ketua menteri Sabah, Salleh Said Keruak, berkata tindakan menjadikan situasi Sabah sebagai tanda aras bagi negeri lain akan memberikan gambaran salah terhadap isu berbangkit. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Susun atur perkongsian hasil Sabah dengan Petronas tidak boleh dijadikan model bagi negeri pengeluar minyak lain, kata pemimpin veteran Sabah, Salleh Said Keruak.

Beliau berkata, kedudukan fiskal Sabah adalah berasaskan pengaturan Perlembagaan yang khusus bagi Sabah dan Sarawak, dan bukannya dasar am atau tuntutan pembangunan.

“Membingkaikan situasi Sabah sebagai tanda aras bagi negeri lain adalah salah nyata terhadap isu tersebut,” katanya dalam catatan di Facebook, beberapa jam selepas seorang pegawai Perbendaharaan mengulas mengenai perkongsian hasil.

“Ini bukan soal model pembiayaan budi bicara, tetapi berkait menangani perkara struktur dan Perlembagaan yang sudah lama berlarutan,” katanya.

Beliau berkata, sebarang perbincangan mengenai hasil Sabah mesti bermula dengan penuh ketelusan, sambil menambah tanpa akses terbuka kepada data, keputusan akhir tidak boleh dianggap adil atau boleh dipercayai.

Salleh juga menggesa pembentukan sebuah jawatankuasa bersama persekutuan-negeri yang tetap dengan kuasa yang jelas, akses data bersama, dan kepakaran teknikal bebas, demi menyelesaikan isu pengiraan dan kutipan hasil sewajarnya.

“Pengaturan secara ad-hoc dan pemakluman terpilih tidak cukup. Apa yang diperlukan adalah satu mekanisme institusi dan tetap yang mencerminkan kedudukan perlembagaan Sabah,” kata Salleh, yang merupakan ketua menteri Sabah dari 1994 hingga 1996.

Kenyataan beliau menyusul beberapa jam selepas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Merican, berkata dalam satu temu bual bersama FMT, menyentuh Malaysia mempunyai model terbukti memastikan perkongsian hasil lebih adil antara Petronas dan negeri pengeluar minyak.

Mengulas berhubung tuntutan yang semakin meningkat daripada negeri untuk mendapatkan agihan hasil minyak dan gas lebih besar, Johan menekankan kerjasama ‘menang-menang’ Petronas dengan Sabah yang ditandatangani pada 2021, sebagai contoh kejayaan kolaborasi komersial.

Sepanjang tahun lalu, beberapa negeri juga telah mendesak agar rundingan semula dilakukan terhadap susun atur perkongsian hasil bukan minyak.

Pada Jun 2025, Pulau Pinang menggesa Putrajaya melaksanakan mekanisme perkongsian hasil melibatkan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang dikutip dari negeri itu. Pada bulan berikutnya, Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, menyeru kerajaan persekutuan memperuntukkan 25% hasil cukai dikutip di Johor kepada negeri berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.