
Pesuruhjaya Polis Sabah, Jauteh Dikun, berkata 40 bungkusan plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih dipercayai methamphetamine ditemui ketika menyerbu sebuah rumah di Taman Donggongon, Penampang, Selasa lalu.
Menurutnya, sindiket itu menyeludup dadah ke Sabah melalui jalan laut menggunakan perkhidmatan syarikat penghantaran sebelum dihantar ke destinasi akhir.
“Pihak berkuasa percaya kaedah penyamaran menggunakan barangan dapur harian seperti papan pemotong bagi mengelakkan pengesanan ketika proses penghantaran dan pemeriksaan rutin,” katanya menurut Harian Metro dalam sidang media di IPK Sabah, Kota Kinabalu.
Beliau berkata, saringan ujian air kencing mendapati dua suspek berusia 28 dan 29 tahun itu positif dadah dan mereka direman untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tegasnya, siasatan akan diteruskan bagi mengesan rangkaian sindiket dipercayai lebih besar dan beroperasi merentasi sempadan.
“Kita akan mengadakan beberapa perbincangan dan kerjasama dengan agensi terlibat untuk memastikan pencegahan kemasukan dadah semaksimum yang boleh,” katanya yang menggesa orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan menerusi Hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sabah di talian 012-208 7222.